Allahyarham Nasrudin dan Noridah (gambar kecil) dan ahli keluarga dan sahabat handai menunggu proses bedah siasat di bilik mayat Hospital Jempol. FOTO Abnor Hamizam Abd Manap
Allahyarham Nasrudin dan Noridah (gambar kecil) dan ahli keluarga dan sahabat handai menunggu proses bedah siasat di bilik mayat Hospital Jempol. FOTO Abnor Hamizam Abd Manap
Abnor Hamizam Abd Manap


Jempol: "Saya rasa nak pengsan apabila melihat dua jasad sudah dibaluti kain. Saya tidak sangka ibu dan ayah maut dalam kemalangan itu," kata Nur Azman Nasrudin, 26, anak kepada suami isteri yang maut dalam kemalangan di Jalan Besar FELDA Serting Hilir-Pulapol Air Hitam, malam tadi.

Kemalangan pada 9 malam itu mengorbankan Nasrudin A Ghani, 53, dan isteri, Noridah Ahmad, 47, manakala anak mereka, Nurin Najwa, 13, cedera.

Menceritakan kejadian, Nur Azman berkata, dia menerima panggilan daripada kakak ipar yang memberitahu ibu bapa dan adik terbabit kemalangan menyebabkan dia segera ke lokasi.

Katanya, dia tinggal di Bahau bersama isteri dan dua anak manakala ayah, ibu dan adik bongsunya tinggal di PULAPOL Air Hitam.

"Apabila tiba di lokasi, saya lihat orang ramai berkerumun dan anggota bomba serta polis sedang melakukan kerja penyelamatan. Ketika itu, dua mayat sudah dibaluti kain putih di tepi jalan.

"Saya segera menghampiri mayat terbabit dan anggota polis mengesahkan identiti ibu bapa saya. Mereka meminta saya melakukan proses pengecaman di Hospital Jempol," katanya ketika ditemui di hospital berkenaan di sini, hari ini.

Bagaimanapun, katanya, dia bersyukur apabila dimaklumkan adiknya, Nurin hanya cedera dan dikejarkan ke hospital untuk rawatan lanjut.

Nur Azman berkata, kali terakhir dia berjumpa arwah ayah dan ibunya itu ketika berkumpul di rumah ibu saudara di Mahsan di sini, malam kelmarin.

"Saya perasan perubahan ayah yang lebih banyak berdiam dan termenung tidak seperti kebiasaan tetapi saya tidak mengesyaki apa-apa. Saya reda dengan ketentuan Ilahi," katanya yang memaklumkan jenazah ibu bapanya dikebumikan dalam satu liang lahad di Tanah Perkuburan Islam Mahsan tengah hari tadi.

Ketua Polis Daerah Jempol Superintendan Noorzainy Mohd Noor berkata, kemalangan itu berlaku apabila Proton Savy dari Tembangau dipercayai hilang kawalan lalu memasuki laluan bertentangan dan bertembung dengan Proton Saga dinaiki tiga beranak terbabit.

Akibatnya, pasangan suami isteri itu maut manakala anak perempuannya serta pemandu Proton Savy, Muhammad Iqmal Alias, 20, cedera.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 28 Oktober 2016 @ 3:01 PM