KEADAAN kereta yang terbabit kemalangan. FOTO IPD Marang
KEADAAN kereta yang terbabit kemalangan. FOTO IPD Marang
Ahmad Rabiul Zulkifli


DUA maut manakala tiga lagi parah selepas dua kenderaan bertembung di kilometer (km) 31 Jalan Kuala Terengganu ke Kuantan berhampiran Asrama Pertubuhan Kebajikan Anak Yatim Terengganu (PERKAYA) di Kampung Pulau Kerengga, Marang, semalam.

Kejadian kira-kira 4.10 petang itu menyebabkan Mohd Shahril Abdull Hamid, 36, dan rakannya, Wan Mohd Zawawi Wan Mohamad, 40, maut ditempat kejadian.

Ketua Polis Daerah Marang, Deputi Superintendan Mohd Zain Mat Dris berkata, Mohd Shahril yang memandu Perodua Myvi bertembung Proton Saga yang dinaiki seorang pemandu dan dua penumpang itu dari arah Dungun menghala ke Kuala Terengganu.

"Kereta dipandu Mohd Shahril bersama penumpangnya, Wan Mohd Zawawi datang daripada arah bertentangan sebelum memasuki laluan kereta Proton Saga berkenaan.

"Proton Saga itu gagal mengelak kerana jarak yang dekat seterusnya menyebabkan kedua-duanya bertembung.

"Pemandu dan penumpang Produa Myvi maut di tempat kejadian manakala pemandu dan dua penumpang Proton Saga mengalami cedera parah dan sedang dirawat di Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ)," katanya.

Menurutnya, jenazah kedua mangsa diserahkan kepada keluarga masing-masing untuk dikebumikan dan kes itu disiasat di bawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 27 Jun 2020 @ 9:37 AM