80,950 saman terhadap pengguna jalan raya sejak hari pertama pelaksanaan PKPP pada 10 Jun sehingga semalam. FOTO Arkib NSTP
80,950 saman terhadap pengguna jalan raya sejak hari pertama pelaksanaan PKPP pada 10 Jun sehingga semalam. FOTO Arkib NSTP
BERNAMA

POLIS Diraja Malaysia (PDRM) mengeluarkan sebanyak 80,950 saman terhadap pengguna jalan raya sejak hari pertama pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) pada 10 Jun sehingga semalam.

Antara kesalahan utama yang dilakukan adalah memandu melebihi had laju dengan sebanyak 37,802 saman, lesen tamat tempoh (12,169) dan sebanyak 10,390 saman tidak mematuhi arahan papan tanda trafik.

Pengarah Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Bukit Aman, Datuk Azisman Alias berkata, pihaknya akan terus mengambil tindakan saman dan membawa pesalah ke mahkamah, jika melanggar peraturan dan undang-undang raya.

"Ini juga termasuk pengguna jalan raya yang memandu dalam keadaan mabuk dan penunggang motosikal yang didapati merempit di jalan raya," katanya kepada Bernama hari ini.

Dalam perkembangan lain beliau berkata, sebanyak hampir RM40 juta saman masih tertunggak yang belum diselesaikan orang ramai, sejak tahun 2000.

Beliau berkata, kesemua saman berkenaan mencecah nilai sehingga kira-kira RM4 bilion.

Azisman turut mengingatkan mereka yang menerima saman trafik berkenaan supaya melunaskannya dengan segera.

"Kategori kesalahan tertinggi yang dilakukan oleh pesalah trafik ialah memandu melebihi had laju, tidak mematuhi arahan papan tanda trafik, kesalahan berkaitan lesen dan tidak mematuhi lampu isyarat," katanya.

  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan
  • Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 17 Jun 2020 @ 7:30 PM