Dr Mohd Radzi Md Jidin.
Dr Mohd Radzi Md Jidin.
BERNAMA

BANYAK pihak termasuk sekolah, pelajar dan ibu bapa dilihat sudah melakukan persiapan mencukupi untuk pembukaan semula sekolah esok serta mematuhi Garis Panduan Pengurusan Pembukaan Semula Sekolah.

Menteri Kanan (Pendidikan) Dr Mohd Radzi Md Jidin berkata, pejabat pendidikan daerah akan melakukan pemeriksaan dan pemantauan berterusan bagi memastikan prosedur operasi standard (SOP) dan garis panduan mengenainya dipatuhi apabila sekolah dibuka.

Mohd Radzi sebelum ini mengumumkan sekolah akan dibuka semula esok membabitkan pelajar Tingkatan Lima dan Enam yang akan menduduki peperiksaan awam iaitu Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), Sijil Vokasional Malaysia (SVM), Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM), Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM) dan peperiksaan antarabangsa yang setara.

"Kepada ibu bapa, jika anak tidak sihat jangan hantar ke sekolah esok dan hari-hari berikutnya," katanya selepas meninjau pelajar kembali ke asrama di Sekolah Sultan Alam Shah, Putrajaya.

Seramai 150 pelajar lelaki Tingkatan Lima mendaftar di asrama sekolah itu hari ini bagi memulakan kelas esok.

Dalam tinjauan itu, Mohd Radzi melihat susun atur katil dan almari di asrama selain memeriksa SOP di dewan makan yang hanya tiga pelajar dibenarkan makan semeja.

Mohd Radzi berkata Kementerian Pendidikan akan menganalisis situasi selepas Tingkatan Enam Atas dan Tingkatan Lima memulakan kelas dan berbincang dengan Kementerian Kesihatan Malaysia serta Majlis Keselamatan Negara sebelum memutuskan bila pelajar lain boleh kembali ke sekolah.


Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 23 Jun 2020 @ 9:04 PM