PELAJAR Tingkatan Enam Semester Dua Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Putatan melakukan imbasan suhu ketika menghadiri sesi persekolahan bersemuka hari ini. FOTO BERNAMA
PELAJAR Tingkatan Enam Semester Dua Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Putatan melakukan imbasan suhu ketika menghadiri sesi persekolahan bersemuka hari ini. FOTO BERNAMA
Izwan Abdullah

Kota Kinabalu: Hanya tiga peratus atau kira-kira 17,000 murid dan pelajar di Sabah dibenarkan hadir ke sekolah untuk mengikuti sesi pengajaran dan pembelajaran secara bersemuka mulai hari ini.

Pengarah Jabatan Pendidikan Sabah, Datuk Dr Mistirine Radin berkata, kebanyakan mereka terdiri daripada murid dan pelajar berkeperluan khas di Sekolah Pendidikan Khas dan Kelas Pendidikan Khas serta pelajar semester dua Tingkatan Enam

Selain itu, katanya pelajar semester tiga Pra Universiti Sekolah Sukan Malaysia dan pelajar sekolah antarabangsa yang akan menduduki peperiksaan turut dibenarkan hadir untuk mengikuti sesi pengajaran dan pembelajaran secara bersemuka.

"Rekod Jabatan Pendidikan negeri menunjukkan kira-kira 4,000 murid berkeperluan khas di sekolah rendah dan hampir 4,000 pelajar berkeperluan khas di sekolah menengah dibenarkan hadir tanpa penggiliran.

"Sebanyak 145 sekolah, iaitu 90 sekolah rendah dan 55 sekolah menengah di bawah Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) serta sebuah sekolah rendah swasta dibuka untuk kehadiran murid dan pelajar berkeperluan khas di seluruh Sabah," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Beliau berkata, sebanyak 103 sekolah menengah di bawah KPM di Sabah dan tujuh sekolah menengah swasta dibuka untuk kehadiran pelajar semester dua Tingkatan Enam, manakala sebuah Sekolah Sukan Malaysia dan tiga sekolah antarabangsa turut dibuka mulai hari ini.

Katanya, bagi sekolah menengah di bawah KPM, kira-kira 8,000 pelajar semester dua Tingkatan Enam dibenarkan hadir ke sekolah, manakala seramai 201 pelajar Tingkatan Enam Atas atau Senior Tiga bagi sekolah swasta.

"Bagi Sekolah Sukan Malaysia Sabah, hanya 24 pelajar semester tiga, pra universiti dibenarkan hadir. Selain itu ada 63 pelajar yang akan menduduki peperiksaan di sekolah antarabangsa turut dibenarkan hadir.

"Ketika ini ada empat sekolah antarabangsa di Sabah, masing-masing dua di Kota Kinabalu dan Tawau, namun sebuah sekolah antarabangsa menangguhkan pembukaan sekolah selama seminggu," katanya.

Sementara itu, katanya daripada 8,000 pelajar semester dua Tingkatan Enam, kira-kira 2,500 tinggal di asrama dan mereka sudah kembali ke asrama sekolah masing-masing sejak semalam.

Secara keseluruhan, katanya pembukaan sekolah untuk sesi pengajaran dan pembelajaran secara bersemuka di Sabah hanya membabitkan seramai kira-kira 3,000 guru.

Pembukaan sekolah untuk sesi pengajaran dan pembelajaran secara bersemuka di Sabah adalah mengikut SOP pembukaan sekolah dalam fasa dua Pelan Pemulihan Negara (PPN).

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 4 Oktober 2021 @ 12:29 PM