MD Yusof mengukur jarak antara meja dalam kelas.
MD Yusof mengukur jarak antara meja dalam kelas.
Fazurawati Che Lah

PERASAAN seperti 'kembali ke sekolah' apabila sesi persekolahan untuk pelajar tingkatan lima dan enam bermula 24 Jun ini.

Rata-rata guru tidak sabar untuk berjumpa anak didik mereka selepas sekolah diarahkan tutup dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) diikuti Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) akibat penularan pandemik Covid-19.

Hampir tiga bulan juga dari tempoh itu, Pembelajaran dan Pemudahcaraan (PdPc) dijalankan dalam talian oleh guru kepada pelajar.

Usaha guru yang tidak jemu menyampaikan ilmu pendidikan wajar dipuji apabila sebahagian mereka juga sanggup menghantar sendiri bahan tugasan kepada pelajar yang tidak dapat mengikuti kelas dalam talian.

Guru Cemerlang Bahasa Arab, Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) Maahad Hamidiah Kajang, Selangor, Mohd Saudi Abdullah tidak sabar untuk bertemu sebahagian anak didiknya itu.

Katanya, perasaan gembira dan debaran pembukaan sesi persekolahan kali ini sama seperti sesi persekolahan awal tahun.

MD Yusof (kiri) bersama guru menyusun meja mengikut penjarakan.
MD Yusof (kiri) bersama guru menyusun meja mengikut penjarakan.

PERBINCANGAN bersama guru untuk kerja penyusunan.
PERBINCANGAN bersama guru untuk kerja penyusunan.

"Walaupun bertemu pelajar dalam talian ketika PdPc berlangsung sepanjang PKP dan PKPB, ia tetap tidak sama dengan pengajaran secara berdepan kerana kaedah pengajaran yang tidak 'dekat' dengan pelajar.

"Apabila menteri umumkan sekolah bakal dibuka, tidak dapat digambarkan kegembiraan ini kerana selepas ini dapat melihat anak-anak(pelajar) secara dekat, merasai kembali keseronokan mengajar menggunakan papan putih yang dilihat lebih dekat, bagus dan berkesan," katanya ketika dihubungi.

Katanya, persediaan untuk memulakan sesi persekolahan juga sudah dilakukan hampir 100 peratus membabitkan semua bangunan sekolah termasuk kelas, makmal, pejabat, kantin dan asrama.

Pelaksanaan penyusunan kelas mengikut prosedur operasi standard (SOP) yang dikeluarkan Kementerian Pendidikan Malaysia juga sudah dilaksanakan lebih awal oleh guru.

"Pembukaan kali ini membabitkan pelajar tingkatan lima seramai 160 pelajar dan tingkatan enam. Sebelum ini kelas untuk tingkatan lima adalah lima kelas, tetapi untuk sesi ini kami sudah siapkan 10 kelas bagi pelajar SPM dengan kapasiti 15 orang dalam kelas.

"Begitu juga di asrama yang mana setiap dorm hanya lima orang berbanding 20 pelajar sebelum ini," katanya.

MD Yusof menunjukkan penjarakan antara meja dalam kelas.
MD Yusof menunjukkan penjarakan antara meja dalam kelas.

Jelas Ustaz Mohd Saudi, guru juga banyak memberi kerjasama dalam menyiapkan susunan kelas mengikut garis panduan selain bersedia memulakan sesi pengajaran yang membabitkan sesi pagi sahaja.

"Pengetua, Md Yusof Rahim juga sudah memanggil guru yang berada di luar kawasan untuk memulakan tugas masing-masing dan insya-Allah menjelang persekolahan dibuka, kerja penyusunan dan penandaan mengikut garis panduan siap sepenuhnya," katanya.

Baru-baru ini, Menteri Kanan (Pendidikan) Dr Mohd Radzi Md Jidin berkata, pelajar yang bakal memasuki kelas pada 24 Jun ini ialah mereka yang mengambil peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), Sijil Vokasional Malaysia (SVM), Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM), Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM) dan peperiksaan antarabangsa yang setara.

Kementerian Pendidikan mengeluarkan garis panduan pengurusan pembukaan semula sekolah yang membabitkan aspek pelaksanaan dan pengurusan prasarana, termasuk kehadiran pelajar serta penjarakan sosial di bilik darjah, dewan makan asrama serta kantin.

Sementara itu, Pengetua Sekolah Menengah Sains Teluk Intan (SEMESTI), Naharudeen Othman berharap pelajar yang akan mengikuti persekolahan dapat membiasakan diri dengan situasi baru ini dan mematuhi SOP ditetapkan.

KELAS yang siap disusun mengikut penjarakan.
KELAS yang siap disusun mengikut penjarakan.

MURID dan guru tidak sabar untuk mengikuti pengajaran dalam kelas.
MURID dan guru tidak sabar untuk mengikuti pengajaran dalam kelas.

"Mungkin akan menimbulkan psikologi kurang mesra sesama pelajar kerana perlu mengawasi penjarakan sosial, tetapi kami berharap pembukaan persekolahan ini menjadikan persediaan kepada pelajar membiasakan diri dengan situasi baru.

"Untuk pembukaan sekolah nanti, persediaan membabitkan dua bangunan utama iaitu asrama dan bangunan akademik dan sekolah akan mula menerima pelajar sehari sebelum persekolahan bermula," katanya.

Katanya, berikutan pertambahan kelas, tetapi bilangan guru masih sama, sekolah turut melaksanakan penjadualan baru dikenali jadual anjal.

"Jadual anjal ini bermaksuk satu subjek akan mengambil tempoh dua jam yang mana pada jam pertama aktiviti adalah berbentuk pengajaran dan jam kedua berbentuk tutorial seperti latihan dan latih tubi.

"Setakat ini, semua persediaan berjalan lancar, malah lebih terharu apabila ada sebahagian guru yang bukan mengajar tingkatan lima turut menawarkan diri untuk membantu guru SPM untuk sama-sama mengajar," katanya.

Naharudeen berharap pembukaan persekolahan ini menjadi permulaan yang baik untuk sekolah membuka sesi pengajaran kepada tingkatan lain masuk selepas ini.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 15 Jun 2020 @ 7:00 AM