PROGRAM Jom Ke Sekolah di Sekolah Menengah Kebangsaan Kedawang, Langkawi awal Februari lalu. FOTO HAMZAH OSMAN
PROGRAM Jom Ke Sekolah di Sekolah Menengah Kebangsaan Kedawang, Langkawi awal Februari lalu. FOTO HAMZAH OSMAN
Raja Noraina Raja Rahim


IBU bapa dan pelajar menyuarakan kebimbangan sekiranya sesi persekolahan baharu bermula ketika penularan pandemik Covid-19 belum reda sepenuhnya.

Menurut mereka, jika Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) membuat keputusan membenarkan pelajar tingkatan lima dan enam memulakan sesi persekolahan terlebih dahulu dalam masa terdekat, ia perlu disusuli prosedur operasi standard (SOP) yang ketat.

Ibu kepada tiga anak, Linda Malik, 43, mengakui bimbang keselamatan dan kesihatan anaknya yang akan tinggal di asrama sepanjang sesi persekolahan itu.

"Bagi saya, jika keadaan (penularan Covid-19) terkawal, boleh pergi sekolah. Sukar untuk ke sekolah jika belum reda kerana kami tinggal di Johor Bahru dan anak pula bersekolah di Mersing.

"Kalau sekolah ada SOP yang ketat, saya akan benarkan anak ke sekolah," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Ditanya mengenai pembelajaran anak perempuannya berusia 17 tahun itu di rumah sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), Linda berkata, anaknya mengikuti kelas secara dalam talian dan melakukan ulangkaji diberikan guru.

Seorang lagi ibu, Suzana Jasruni, 52, pula akur jika anak lelakinya yang akan menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) perlu memulakan sesi persekolahan dalam masa terdekat.

Menurutnya, mungkin lebih baik dan memudahkan anak kedua daripada tiga beradik itu mengikuti sesi pembelajaran bersama guru di sekolah di mana dapat memberikan tumpuan penuh.

"Apa yang saya risau jangkitan Covid-19 (mungkin berlaku). Sekolah akan ada SOP, cuma pemantauan perlu sentiasa dilakukan ke atas pelajar supaya patuh.

"Biasalah bila sudah lama tak jumpa kawan-kawan, sukar untuk kita pastikan mereka menjaga penjarakan sosial," katanya.

Sementara itu, pelajar tingkatan lima Sekolah Menengah Kebangsaan Seksyen 7, Shah Alam, Selangor, Siti Aisyah Syareena Syamsulhairi, 17, berkata, dia akan mengambil langkah berhati-hati sekiranya perlu ke sekolah.

Dia mengakui bimbang dengan wabak yang melanda negara ketika ini, namun pada masa sama mengharapkan peperiksaan SPM dapat berjalan lancar dan tidak ditangguhkan lagi.

"Sekarang ini saya mengikuti kelas secara dalam talian setiap hari dan membuat ulangkaji sendiri. Malah guru pusat tuisyen juga ada buat kelas secara dalam talian.

"Jadi saya tiada masalah daripada segi pembelajaran di rumah. Cuma mungkin ada pelajar lain yang tidak dapat mengikuti Pengajaran dan Pembelajaran (PdP) disebabkan tiada kemudahan Internet dan sebagainya," katanya.

Menurutnya, sekiranya sesi persekolahan perlu diteruskan, penjagaan diri perlu dititik berat iaitu memakai pelitup muka dan menggunakan cecair pembasmi kuman bagi mengelak berlaku jangkitan Covid-19.

Sebelum ini, Menteri Kanan (Pendidikan) Dr Mohd Radzi Md Jidin berkata, KPM akan membenarkan pelajar kelas peperiksaan tingkatan lima dan enam untuk hadir ke sekolah terlebih dahulu untuk memantau tahap kepatuhan serta keberkesanan SOP yang ditetapkan.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 13 Mei 2020 @ 5:25 PM