KEADAAN di dalam kelas di Sekolah Kebangsaan Teruntum yang sudah bersedia untuk menerima kemasukan pelajar dengan mengamalkan normal baharu yang antaranya penjarakan sosial di antara pelajar selepas sekolah ditutup sejak fasa pertama Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), pada bulan Mac lalu bagi membendung penularan wabak Covid-19. FOTO FARIZUL HAFIZ AWANG
KEADAAN di dalam kelas di Sekolah Kebangsaan Teruntum yang sudah bersedia untuk menerima kemasukan pelajar dengan mengamalkan normal baharu yang antaranya penjarakan sosial di antara pelajar selepas sekolah ditutup sejak fasa pertama Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), pada bulan Mac lalu bagi membendung penularan wabak Covid-19. FOTO FARIZUL HAFIZ AWANG
Mohd Rafi Mamat


SEKOLAH di Pahang bersedia menyambung sesi persekolahan bermula 24 Jun ini selepas lebih tiga bulan ditutup berikutan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) mencegah penularan wabak Covid-19.

Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam, Pelajaran dan Kesihatan Pahang, Datuk Seri Syed Ibrahim Syed Ahmad berkata, syarat utama ialah semua guru, petugas termasuk pelajar perlu mematuhi prosedur operasi standard (SOP) sebelum memulakan sesi persekolahan.

"Kita menyambut baik usaha dan saranan yang diumumkan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) bagi memastikan SOP dipatuhi dalam aspek pembelajaran di dalam kelas, susun atur di asrama, interaksi di antara guru dan murid termasuk mengambil kira waktu rehat.

"Kebanyakan sekolah di Pahang sudah menyusun atur peralatan pembelajaran supaya memenuhi kehendak SOP yang diseragamkan itu.

"Sebanyak 18 sekolah agama di bawah pentadbiran kerajaan Pahang dan empat sekolah agama rakyat di bawah pentadbiran Majlis Ugama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang (Muip) akan memulakan operasinya pada 24 Jun ini," katanya, di sini hari ini.

Beliau menambah, semua sekolah terbabit turut sama akan mematuhi SOP yang dibentangkan oleh KPM baru-baru ini.

Syed Ibrahim berkata, bagi sekolah menengah agama di bawah pentadbiran kerajaan Pahang yang membabitkan pelajar Tingkatan Empat bagi sesi persekolahan yang akan bermula tidak lama lagi.

"Ini kerana pelajar terbabit perlu menduduki peperiksaan Sijil Menengah Agama (SMA) dan pihak kerajaan Pahang juga telah mengenalpasti setiap keupayaan sekolah tersebut bagi memenuhi SOP yang ditetapkan KPM," katanya.

Sementara itu, Presiden Kesatuan Guru Melayu Malaysia Barat (KGMMB), Jasni Md Kechik berkata, dia yakin pihak sekolah sudah membuat persiapan rapi bagi menyambut kehadiran pelajar dalam keadaan selamat sebaik sahaja sekolah dibuka nanti.

Katanya, guru, pelajar, pengusaha kantin dan asrama serta pekerja pembersihan perlu sentiasa mengambil berat keselamatan, kebersihan dan kesihatan semasa berada di dalam kawasan sekolah.

"Mereka hendaklah sentiasa mematuhi langkah pencegahan jangkitan Covid-19 yang dipamerkan oleh pihak sekolah di tempat strategik di sekolah.

"Semasa sesi persekolahan berlangsung pentadbir sekolah dan guru hendaklah dari masa ke masa berbincang untuk mengambil tindakan pembetulan dan tindakan pencegahan terhadap isu yang boleh menjejaskan keselamatan dan kesihatan warga sekolah," katanya

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 18 Jun 2020 @ 1:16 PM