Zatul Iffah Zolkiply


BERSELINDUNG di sebalik rumah keluarga dan kawasan kampung antara taktik digunakan sindiket pengedaran dadah bertapak di Kemasik, Kemaman bagi mengaburi mata pihak berkuasa.

Bagaimanapun, kegiatan kumpulan berkenaan yang dipercayai aktif sejak enam bulan terbongkar susulan penahanan empat individu termasuk seorang wanita berusia antara 20 hingga 40-an.

Susulan itu, polis merampas dadah bernilai hampir RM1.72 juta dalam serbuan berasingan di Kemasik, Kemaman antara 5.30 pagi hingga 1.45 tengah hari, Isnin lalu.

Selain merampas dadah jenis pil kuda, syabu dan heroin, polis turut merampas sepucuk pistol tiruan, kereta Honda Civic dan wang tunai RM63, 318 dipercayai hasil kegiatan berkenaan.

Ketua Polis Terengganu, Datuk Roslee Chik berkata, serbuan pertama di sebuah rumah di Kemasik dan pihaknya menahan tiga lelaki termasuk seorang daripadanya yang sebelum ini pernah ditahan kerana melakukan kesalahan di bawah Langkah-Langkah Pencegahan Khas (LLPK) 1985.

Beliau berkata, suspek berusia 38 tahun yang keluar dari sebuah pusat kerana LLPK pada Februari lalu itu turut bertindak mengacukan pistol ke arah anggota, namun kemudian melemparnya sebelum dia ditahan.

Katanya, hasil pemeriksaan menemui pelbagai jenis dadah iaitu 40 botol heroin dianggarkan seberat 220 gram (g), syabu 1,300g dan 42,200 pil kuda.

"Rampasan dadah dianggarkan bernilai RM1,058,200 dan kami turut menyita wang tunai RM63,318, sebuah kereta Honda Civic berharga RM50,000 serta sepucuk pistol tiruan.

"Serbuan seterusnya dilakukan di sebuah rumah kira-kira 30 meter daripada lokasi pertama sebelum berjaya menahan seorang wanita berusia 31 tahun.

"Hasil pemeriksaan, kami merampas dadah jenis heroin seberat 3,710g, satu plastik syabu seberat 15.44g dan 1,400 biji pil kuda dengan rampasan dianggarkan bernilai RM252,916," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Terengganu di Kuala Terengganu, hari ini.

Roslee berkata, siasatan awal mendapati sindiket ini sudah bertapak di Kemaman sejak enam bulan lalu dengan menyasarkan pasaran di Terengganu dan Pahang.

DATUK Roslee Chik (tengah) menunjukkan pelbagai jenis dadah yang bernilai RM1.71 Juta berjaya dirampas. FOTO Ghazali Kori
DATUK Roslee Chik (tengah) menunjukkan pelbagai jenis dadah yang bernilai RM1.71 Juta berjaya dirampas. FOTO Ghazali Kori

Katanya, pihaknya tidak menolak kemungkinan tangkapan itu mempunyai kaitan dengan rampasan 50,000 pil kuda dalam serbuan ke atas sebuah lori mengangkut buah berhampiran Plaza Tol Telemong di Lebuhraya Pantai Timur 2 (LPT 2), Hulu Terengganu pada 25 April lalu.

"Hasil siasatan, kami percaya ada kaitan antara dua kes ini, namun siasatan terperinci mengenai kes sedang dijalankan.

Ini adalah rampasan terbesar dan sekiranya terlepas di pasaran, bekalan dadah ini boleh digunakan untuk 300,000 penggunaan.

"Semua suspek yang positif dadah jenis methamphetamine direman tujuh hari sehingga 14 Jun depan untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 39 Akta Dadah Berbahaya 1952 dan Seksyen 8 Akta Senjata Api 1960," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 10 Jun 2020 @ 2:53 PM