MOHD Said (dua dari kiri) bersama pegawainya menunjukkan dadah dan wang tunai dirampas daripada lima lelaki di sebuah rumah di Kampung Kemasik, Chukai, malam tadi. FOTO Rosli Ilham.
MOHD Said (dua dari kiri) bersama pegawainya menunjukkan dadah dan wang tunai dirampas daripada lima lelaki di sebuah rumah di Kampung Kemasik, Chukai, malam tadi. FOTO Rosli Ilham.
Rosli Ilham


RAHSIA sebuah rumah di Kampung Kemasik, Chukai, yang menjadi tumpuan lima lelaki keluar masuk terjawab selepas mereka diberkas polis serta merampas dadah, tengah malam tadi.

Ketua Polis Daerah Kemaman, Superintendan Mohd Said Ibrahim, berkata sepasukan polis dari Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik (BSJN) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kemaman, menyerbu rumah terbabit pada 12.30 tengah malam.

Beliau berkata, dalam serbuan itu, polis menemui 52 botol kecil berisi serbuk putih dipercayai heroin serta 310 biji pil kuda.

“Dadah terbabit dianggarkan bernilai RM27,000 dan polis turut merampas wang tunai RM3,300 dipercayai hasil jualan dadah.

“Selain itu, enam motosikal, sebuah kereta dan sebuah kenderaan pacuan empat roda turut dirampas dengan nilai keseluruhan bernilai RM155,000,” katanya dalam sidang media di Chukai, hari ini.

Mohd Said berkata, semua suspek yang ditahan serta kenderaan dirampas itu dibawa balik ke IPD Kemaman untuk siasatan lanjut.

Beliau berkata, hasil air kencing ke atas lima suspek berusia 19 hingga 39 tahun itu mendapati empat daripada mereka positif dadah methamphetamine.

“Siasatan mendapati bekalan dadah terbabit diperoleh dari Johor dan kami percaya dadah itu dijualkan kepada penagih di sekitar Kemasik, Kerteh dan Kemaman.

“Empat daripada suspek yang ditahan itu mempunyai rekod lampau berkaitan dadah,” katanya.

Beliau berkata, semua suspek disiasat mengikut Seksyen 39 (B) Akta Dadah Berbahaya dan Seksyen 15(1)(a) akta sama.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 9 Oktober 2018 @ 9:12 PM