Shamsul Munir Safini


POLIS menahan suami isteri dan merampas pelbagai jenis dadah berjumlah RM1.5 juta bersama tiga pucuk pistol dalam serbuan di sebuah pangsapuri di Bukit Dumbar, Georgetown, Isnin lalu.

Timbalan Ketua Polis Pulau Pinang Datuk Roslee Chik berkata, dalam serbuan jam 11.20 pagi itu, polis turut menemui 81 butir peluru pistol hidup dalam rumah didiami suami isteri berusia 52 dan 43 tahun itu.

Menurutnya, polis juga merampas wang tunai berjumlah RM33,000 dan sebuah motosikal Honda MSX125J bernilai RM7,000.

Katanya, suspek lelaki mempunyai sembilan rekod jenayah termasuk dadah dan saringan ujian air kencingnya didapati positif dadah jenis methamphetamine, namun isterinya negatif.

“Polis juga percaya pistol yang dijumpai di rumah mereka diberikan sebagai pakej kepada dadah yang disimpan di situ kerana kebanyakkan sindiket akan memberi senjata api kepada pengedar mereka yang menyimpan dadah yang berjumlah jutaan ringgit,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Pulau Pinang, Georgetown, hari ini.

ANTARA dadah yang dirampas daripada suspek. FOTO Ramdzan Masiam
ANTARA dadah yang dirampas daripada suspek. FOTO Ramdzan Masiam

Katanya, suami isteri berkenaan dipercayai ahli sindiket yang ditugaskan menjaga dadah terdiri 21,268 gram syabu, 21,700 biji pil kuda, empat gram dadah heroin dan 40 biji pil Erimin 5.

“Ia terpaksa disorok dan disimpan di rumah itu selepas dadah untuk pasaran tempatan didapati terlalu banyak ekoran kemasukan dadah dari Myanmar sehingga harganya jatuh di pasaran selain perlu disimpan.

“Dadah yang dirampas ini juga sebahagian daripada dadah yang tidak terjual dan ia adalah kejayaan terbaru Polis Pulau Pinang dalam menumpaskan sindiket pengedaran dadah,” katanya.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952, Seksyen 8 Akta Senjata Api 1971 dan Seksyen 8(a) Akta Senjata 1960.

“Suami isteri itu direman selama tujuh hari masing-masing sehingga 8 dan 9 Oktober ini,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 4 Oktober 2018 @ 5:28 PM
ROSLEE (tengah) bersama pegawainya menunjukkan pistol yang dirampas daripada suspek pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pulau Pinang, Georgetown, hari ini. FOTO Ramdzan Masiam
ROSLEE (tengah) bersama pegawainya menunjukkan pistol yang dirampas daripada suspek pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pulau Pinang, Georgetown, hari ini. FOTO Ramdzan Masiam