TANGKAP layar majlis Aidilfitri Abdul Rashid yang tidak mengikut SOP PKPB baru-baru ini. FOTO ihsan pembaca
TANGKAP layar majlis Aidilfitri Abdul Rashid yang tidak mengikut SOP PKPB baru-baru ini. FOTO ihsan pembaca
Ruwaida Md Zain


AHLI Dewan Undangan Negeri (Adun) Selat Klang, Datuk Abdul Rashid Asari dikenakan kompaun RM1,000 kerana melanggar syarat Prosedur Operasi Standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) pada hari raya pertama lalu.

Ini berikutan satu majlis rumah terbuka anjuran beliau di Kediaman Exco Kerajaan Negeri Selangor di Seksyen 7, Shah Alam, dihadiri lebih 20 tetamu seperti ditetapkan.

Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Baharudin Mat Taib berkata, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Shah Alam menerima arahan itu dari pihak pendakwa raya pada tengah hari hari ini.

"Polis akan menghubungi beliau untuk tampil ke IPD Shah Alam bagi menyerahkan kompaun terbabit.

"Arahan kompaun ke atas penganjur, jadi penganjur saja yang dikompaun manakala tetamu jemputan beliau tidak dikompaun, " katanya dalam sidang media di IPD Shah Alam hari ini.

Baharudin berkata, polis difahamkan semua tetamu yang hadir adalah penyokong Abdul Rashid dari Kapar, Klang.

"Majlis rumah terbuka itu memang dianjurkan oleh beliau dan difahamkan tetamu yang datang memang dijemput beliau. Mengikut kenyataan, beliau juga tidak jangka melebihi jumlah itu," katanya.

Beliau berkata, Abdul Rashid hadir memberikan kenyataan malam tadi di IPD Shah Alam berhubung perkara itu.

Berita berkaitan

Polis siasat Adun bergambar beramai-ramai

Polis tak terima laporan Adun Selat Klang langgar SOP

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan


  • Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 29 Mei 2020 @ 1:54 PM