LAPORAN portal Harian Metro sebelum ini.
LAPORAN portal Harian Metro sebelum ini.
Nurul Hidayah Bahaudin


Kuala Lumpur: Sebanyak RM19,000 jumlah kompaun dikenakan terhadap tujuh selebriti kerana melanggar prosedur operasi standard (SOP) ketika Majlis Berbuka Puasa dan Rapatkan Saf 2021 di sebuah hotel, di sini, 29 April lalu.

Ketua Polis Daerah Dang Wangi Asisten Komisioner Mohamad Zainal Abdullah berkata, tindakan itu diambil selepas mereka didapati melanggar SOP penganjuran majlis sosial Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).

"Kertas siasatan kes berkenaan dikembalikan dari pejabat Peguam Negara, Putrajaya dengan keputusan enam individu iaitu Nurin Afiqah Zulkifli, Nur Heliza Helmi, Nur Hazwani Helmi, Ahmad Faizal Yaakob, Wan Mawar Shaputri Wan Abdul Rashid dan Siti Nur Iman Alysaa Sahabuddin dikompaun RM1,500 setiap seorang.

"Kompaun itu dikenakan terhadap mereka selepas didapati gagal memakai pelitup muka semasa berada di hotel berkenaan untuk majlis terbabit," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Mohamad Zainal berkata, Ariz Ramli daripada Syarikat Rindu Raudah Sdn Bhd selaku penganjur pula dikenakan kompaun sebanyak RM10,000 kerana gagal memastikan tetamu memakai pelitup muka sepanjang majlis berkenaan berlangsung.

"Semua individu yang terbabit dikompaun, semalam, dengan jumlah keseluruhan kompaun dikeluarkan sebanyak RM19,000.

"Orang ramai dinasihatkan supaya terus mematuhi SOP ditetapkan oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN) bagi memerangi wabak Covid-19," katanya.

Sebelum ini, Harian Metro melaporkan pihak polis sudah membuka kertas siasatan berkaitan penganjuran Majlis Berbuka Puasa dan Rapatkan Saf 2021 yang diadakan di sebuah hotel, di sini, yang turut dihadiri beberapa artis.

Terdahulu, terdapat gambar yang tular menunjukkan beberapa artis melanggar SOP kerana tiada penjarakan sosial dan tidak memakai pelitup muka ketika hadir majlis berbuka puasa berkenaan.

Berita berkaitan

  • Majlis berbuka puasa langgar SOP, penyanyi dan selebriti dipanggil
  • Polis siasat Majlis Berbuka Puasa dan Rapatkan Saf 2021
  • Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 22 Jun 2021 @ 5:10 PM