Asisten Komisioner Baharudin Mat Taib.
Asisten Komisioner Baharudin Mat Taib.
Ruwaida Md Zain


POLIS akan memanggil Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Selat Klang Datuk Abdul Rashid Asari dan beberapa individu bagi membantu siasatan berhubung gambar beramai-ramai sempena Aidilfitri yang tersebar di media sosial, semalam.

Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Baharudin Mat Taib berkata, polis menjalankan siasatan terhadap isu tular itu selepas menerima laporan polis pada hari sama .

"Polis akan memanggil Yang Berhormat ADUN dan beberapa individu lain untuk diambil keterangan bagi membantu siasatan.

"Polis akan merujuk siasatan awal yang dijalankan kepada pihak pendakwaraya bagi mendapat arahan lanjut hari ini," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau berkata, siasatan kes dibuat mengikut Peraturan 7(1) Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 2020 (Langkah-langkah Di Dalam Kawasan Tempatan Jangkitan) (No 6) 2020* dan boleh dihukum di bawah Peraturan 15 (1) peraturan sama apabila disabitkan boleh didenda tidak melebihi satu ribu ringgit atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi enam bulan atau kedua-duanya sekali.

Semalam, Harian Metro melaporkan tiada sebarang laporan polis diterima susulan penyebaran tangkap layar gambar majlis Aidilfitri anjuran Abdul Rashid yang didakwa tidak mengikut prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) baru-baru ini.

Ketua Polis Selangor Datuk Noor Azam Jamaludin berkata, polis belum menerima laporan berkaitan perkara terbabit.

"Polis akan memantau dan membuat semakan sekiranya ada," katanya.

Abdul Rashid ketika dihubungi tidak menyangka gambar raya pertama itu tersebar kepada umum.

"Gambar pada raya pertama lebih seorang saja sebab memang sudah beritahu tidak boleh lebih 20 orang, tak sangka ia tular," katanya.

Tangkap layar yang tersebar itu memaparkan terdapat gambar 21 individu termasuk Abdul Rashid serta ayat berbunyi, @PDRMsia @IsmailSabri60 @MuhyiddinYassin kalau YB, tak perlu ikut SOP ke? #N44 #DUNSelatKlang.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 28 Mei 2020 @ 3:23 PM