ASISTEN Komisioner Baharudin Mat Taib bersama anggota yang akan melaksanakan SJR di beberapa lokasi di Shah Alam. FOTO Noramira Che Noh
ASISTEN Komisioner Baharudin Mat Taib bersama anggota yang akan melaksanakan SJR di beberapa lokasi di Shah Alam. FOTO Noramira Che Noh
Norzamira Che Noh

Shah Alam: Polis daerah ini akan mengetatkan pemeriksaan serta sekatan terhadap pengguna jalan raya selepas jam 10 malam selaras dengan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) yang bermula hari ini.

Ketua Polis Daerah Shah Alam Asisten Komisioner Baharudin Mat Taib berkata, individu yang tidak mematuhi Prosedur Operasi Standard (SOP) ketika pemeriksaan sekatan jalan raya (SJR) dijalankan akan dikompaun serta merta.

"Tindakan tegas akan diambil terhadap individu yang tidak mengikuti SOP yang ditetapkan selepas jam 10 malam.

"Bagaimanapun, untuk SJR pada waktu siang, kita akan lebih longgar yang mana kita faham ramai penduduk daerah ini masih bekerja dalam tempoh PKPB," katanya pada sidang media penugasan SJR peringkat Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Shah Alam.

Menurut beliau, empat SJR utama dilaksanakan iaitu di Persiaran Kayangan Seksyen 7, Persiaran Tengku Ampuan Seksyen 26, Plaza Tol Shah Alam dan Plaza Tol Setia Alam.

"SJR bergerak juga akan dijalankan di beberapa lokasi mengikut keperluan. Ia akan dijalankan selama dua jam (di setiap lokasi) oleh balai-balai polis.

"Secara keseluruhan, 250 anggota dan pegawai IPD Shah Alam digerakkan untuk SJR kali ini manakala Angkatan Tentera Malaysia (ATM) menempatkan 36 anggota," katanya.

Menurut beliau, selain SJR, elemen seperti Unit Kereta Peronda (MPV), Unit Rondaan Bermotosikal (URB) dan Unit Pemantauan PKPB Op COVID-19 akan membuat hebahan dan peringatan.

Baharudin turut memaklumkan, keadaan trafik di Shah Alam adalah normal malah warga Shah Alam dilihat memahami serta mematuhi pelaksanaan PKPB.

Sementara itu, tiga lokasi SJR dilaksanakan oleh IPD Klang Utara iaitu di hadapan Stesen Minyak Petron (berdekatan Aeon Mall Bukit Raja), Batu 8 Jalan Meru Tambahan dan Batu 10 Jalan Kapar.

Manakala di Klang Selatan, SJR diadakan di Persiaran Kota (susur keluar Majlis Perbandaran Klang), Batu 2 Jalan Langat (arah Klang ke Banting) dan Jalan Datuk Mohd Sidin.

  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan

  • Lagi berita berkaitan Covid-19


  • Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 14 Oktober 2020 @ 5:15 PM