PELANGGAN mendapatkan bekalan daging di Pasar Kuala Berang. FOTO Ihsan pembaca
PELANGGAN mendapatkan bekalan daging di Pasar Kuala Berang. FOTO Ihsan pembaca
Zatul Iffah Zolkiply

HARI megang mungkin kedengaran asing dalam kalangan masyarakat, tetapi begitu sinonim dengan penduduk Pantai Timur terutama Terengganu dan Kelantan.

Ia membawa maksud sehari sebelum hari raya biasanya menjadi hari yang paling sibuk buat peniaga daging di Pasar Kuala Berang.

Bagaimanapun, pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) memberi kesan kepada peniaga daging apabila permintaan merosot kerana menerima antara empat hingga lima ekor lembu sahaja pada tahun ini berbanding antara tujuh hingga sembilan ekor, tahun lalu.

Peniaga, Nordin Mat Zain, 41, berkata, sambutan kurang menggalakkan mungkin disebabkan perantau tidak pulang beraya di kampung halaman.

"Sebenarnya bukan penjual daging sahaja tetapi peniaga ayam, sayur-sayuran dan kedai runcit juga terkesan dan mengalami penurunan jualan.

"Memang terasa sebab lebih separuh permintaan menurun. Kalau tidak, hari megang sangat meriah sehingga ada kalanya tidak cukup kerana permintaan tinggi," katanya yang sudah 10 tahun menjual daging.

Katanya, dia dan rakan peniaga lain sudah menjangka jualan akan menurun kerana keadaan itu sudah berlaku sejak pelaksanaan PKP disebabkan orang ramai sukar keluar dari rumah.

"Sebelum ini, saya berniaga di Pasar Tani Kuala Berang, tetapi kini hanya berniaga di pasar sejak PKP dan tentunya pendapatan turut merosot.

"Walaupun jualan terjejas, saya dan rakan lain tidak menaikkan harga daging memandangkan daging tempatan antara yang tersenarai sebagai barang kawalan.

"Daging tempatan dijual pada harga antara RM30 hingga RM34 sekilogram dan biasanya saya hanya menjual pada harga minimum kerana kebanyakan pembeli adalah pelanggan tetap.

"Saya berharap wabak Covid-19 ini segera dihapuskan, dan sambutan Aidilfitri kembali meriah seperti biasa pada tahun depan," katanya.

  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan
  • Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 23 Mei 2020 @ 4:19 PM