Romzi menyampaikan sumbangan barangan dapur kepada Dulmedan.
Romzi menyampaikan sumbangan barangan dapur kepada Dulmedan.
Mary Victoria Dass


Kulai: “Bukan niat saya untuk susahkan isteri dan anak, tetapi lebih baik kami tinggal di pondok ini kerana buat masa ini tidak mampu membayar sewa rumah,” kata bekas pemandu lori, Dulmedan Misman, 54, di sini.

Dulmedan berkata, dia bersama isteri, Radziah Bohari, 79, anak tiri, Siti Nurul Ain Abdullah, 7, dan anak kandung, Siti Aisyah yang berusia tiga tahun kehilangan tempat tinggal sejak Februari lalu apabila terpaksa mengosongkan rumah sewa di bangunan rumah kedai di Bandar Indahpura.

Menurutnya, keluarganya gagal melunaskan tunggakan sewa selama lebih dua bulan atau jumlah keseluruhan RM800.

Katanya, atas ihsan kenalan yang menyumbangkan bahan binaan termasuk kayu dan kanvas membolehkannya mendirikan sebuah pondok bersebelahan Stesen Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) Kulai atau berhampiran Taman Tan Yoke Fong Kulai buat sementara.

“Pondok ini tiada elektrik, kami terpaksa menggunakan lilin pada waktu malam manakala berikutan ketiadaan bekalan air, kami mendapatkannya di rumah penduduk terletak 400 meter dari pondok kami.

“Sebelum ini saya bekerja sebagai pemandu lori dan berpendapatan melebihi RM1,000 serta masih mampu menyewa rumah.

“Saya terpaksa berhenti kerja sejak hampir tiga tahun lalu atas faktor kesihatan termasuk masalah tulang belakang sejak terbabit kemalangan jalan raya pada empat tahun lalu selain buah pinggang disahkan hanya berfungsi hampir 30 peratus sejak dua tahun lalu,” katanya.

Dulmedan berkata, sejak berhenti kerja, mereka sekeluarga bergantung kepada bantuan bulanan Majlis Agama Islam Negeri Johor (MAINJ) berjumlah RM400.

Menurutnya, dia juga pernah menerima bantuan bulanan sejumlah RM200 Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) mulai 2016 hingga awal tahun lalu.

“Sebelum ini, isteri juga bekerja sebagai operator pengeluaran dengan pendapatan RM500 namun selepas melahirkan Siti Aisyah, dia mengalami tiroid dan masalah alahan kulit yang serius hingga terpaksa berhenti kerja,” katanya.

Dulmedan berkata, dalam soal pemakanan, keluarganya kerap mengalami masalah putus bekalan dapur.

“Kami menjadikan apa jua sayuran di sekeliling sebagai lauk termasuk betik, pucuk ubi. Ada masanya kami memakan pisang untuk mengisi perut,” katanya.

“Saya memiliki kemahiran membaiki barangan elektrik dan berharap mampu dapat mengambil upah dengan melakukan pekerjaan itu di rumah,” katanya.

Semalam, keluarga Dulmedan menerima kunjungan wakil kakitangan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Daerah Kulai selain Presiden Amal Team Johor Romzi Abd Aziz yang menyampaikan sumbangan barangan keperluan dapur.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 27 Mac 2018 @ 8:41 AM