PONDOK didirikan menggunakan barangan kitar semula di Kampung Baru Sungai Johor di Ulu Tiram sudah diroboh. FOTO Mary Victoria Dass
PONDOK didirikan menggunakan barangan kitar semula di Kampung Baru Sungai Johor di Ulu Tiram sudah diroboh. FOTO Mary Victoria Dass
Mary Victoria Dass

Ulu Tiram: "Saya tidak mahu memburukkan kehidupan di pondok sebelum ini, pada masa sama kami ingin memanjatkan kesyukuran kepada Allah atas segala kemudahan yang diberikan," kata Mohd Farid Md Yusof, 30.

Mohd Farid berkata, urusan perpindahan keluarganya dari Kampung Baru Sungai Johor ke rumah sewa mereka di Felda Ulu Tebrau, di sini, berjalan dengan lancar, semalam.

Menurutnya, pondok yang didirikan sejak dua bulan lalu juga sudah dirobohkan dengan bantuan penduduk kampung dan sukarelawan.

"Memang sedih mengenang nasib pondok berkenaan yang menjadi tempat kami berteduh sebelum ini, namun kami menerima perancangan Allah.

"Kami bersetuju berpindah demi kebaikan dan yakin pemindahan ini adalah permulaan yang diredhai Allah.

"Terima kasih kepada semua yang berusaha untuk mengubah nasib kami terutama kerajaan negeri, agensi berkaitan, jawatankuasa kampung mahupun pertubuhan bukan kerajaan (NGO)," katanya.

Mohd Farid berkata, dia dan isterinya, Norazlina Abdullah, 21, bersyukur kerana tiga anak mereka berusia lapan bulan hingga tiga tahun dapat menjalani kehidupan lebih selesa.

"Kami tetap akan meneruskan usaha untuk mengubah nasib keluarga dan buat masa ini saya mahu fokus kerja di kebun selain bekerja sambilan. Isteri pula akan memberi jagaan kepada anak di rumah," katanya.

Sementara itu, Ketua Kampung Baru Sungai Johor, Shahdon Abd Wahab berkata, pemindahan keluarga berkenaan dilaksanakan mulai petang semalam.

Menurutnya, pihaknya dimaklumkan bayaran sewa rumah pasangan itu akan dibiayai oleh Majlis Agama Islam Johor (Maij).

"Kami mencadangkan Mohd Farid mencari pekerjaan tetap bagi menyara keluarga manakala mengusahakan tanah keluarga secara sambilan.

"Harap perjalanan hidup keluarga mereka lebih terancang selepas ini," katanya.

Harian Metro sebelum ini melaporkan lima beranak tinggal dalam pondok diperbuat daripada kayu hutan dan barangan terbuang kerana tidak mampu menyewa rumah selain tidak mahu membebankan ahli keluarga lain.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 18 November 2023 @ 3:32 PM