GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Izwan Abdullah


Beufort: Penduduk di daerah ini, Kuala Penyu dan Menumbok dijangka berdepan masalah bekalan air yang berlarutan berikutan kelewatan pihak kontraktor menyiapkan projek menaik taraf loji rawatan air yang membekalkan air ke kawasan berkenaan.

Timbalan Ketua Menteri, Datuk Seri Bung Moktar Radin berkata, penduduk juga berdepan kesukaran mendapatkan sumber air berikutan cuaca panas yang diramal berlaku dalam beberapa bulan ini menyebabkan permintaan terhadap air bersih meningkat.

Katanya, tindakan segera perlu diambil untuk menyiapkan kerja di setiap loji rawatan air supaya penyaluran bekalan dapat dipercepatkan, selain melaksanakan penghantaran air ke setiap kampung yang terjejas termasuk di kawasan yang belum ada akses bekalan air bersih.

"Kita menjangkakan penggunaan air akan meningkat berikutan suhu yang sedikit panas dalam beberapa bulan ini. Justeru itu, saya mahu kerja-kerja pembinaan dapat disiapkan secepatnya mengikut jadual bagi memastikan rakyat dapat menikmati kemudahan itu.

"Bagi kampung yang terjejas, saya sudah meminta Jabatan Air Negeri Sabah (JANS) untuk menghantar bekalan air ke kawasan terbabit, ke rumah penduduk kampung supaya dapat memudahkan rutin harian mereka," katanya ketika mengulas lawatannya ke beberapa loji rawatan air di sekitar Parlimen Beaufort dan Kimanis, hari ini.

Lawatan itu untuk melihat status terkini bekalan air dan perkembangan projek yang sedang dilaksanakan di loji terbabit serta mengenal pasti masalah yang perlu ditangani segera, termasuk di Loji Rawatan Air Limbawang, di sini, yang membekalkan air ke Kuala Penyu dan Menumbok.

Masalah bekalan air sering disuarakan penduduk di sekitar Kuala Penyu dan Menumbok yang meminta JANS dan kerajaan negeri mengambil langkah berkesan menangani isu tiada bekalan yang kerap dialami mereka sejak beberapa tahun lalu.

Bung Moktar yang juga Menteri Kerja Raya Sabah, turut meminta pihak JANS supaya kerap melakukan pemantauan dan penguatkuasaan bagi memastikan projek di setiap loji dapat disiapkan mengikut jadual.

"Kita mahu semua projek yang dilaksanakan di loji terbabit disiapkan mengikut tempoh yang diberikan bagi memastikan ia dapat memberi manfaat bukan saja kepada pengguna untuk aktiviti harian, malah pengusaha dalam sektor perniagaan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 12 Mac 2021 @ 7:37 PM