PENDUDUK Kampung Binjai gembira dan terharu dengan bantuan yang diberikan pihak Schneider Electric Malaysia, Rumah EPIC dan GPF.
PENDUDUK Kampung Binjai gembira dan terharu dengan bantuan yang diberikan pihak Schneider Electric Malaysia, Rumah EPIC dan GPF.
Siti Salmiah A Hamid


Menyinari kehidupan orang lain bukan bermakna pemberian hanya mampu dilakukan menerusi wang semata-mata, tetapi ia boleh dilakukan dengan pelbagai cara agar masyarakat dapat menikmatinya sama.

Atas kesedaran itu Schneider Electric Malaysia, Rumah EPIC dan Yayasan Keamanan Global (GPF) bekerjasama untuk menyediakan bekalan air bersih kepada penduduk Kampung Binjai, Muadzam Shah, Pahang.

Schneider Electric memasang sistem pam air berkuasa solar (SWPS), Rumah EPIC membantu pelaksanaan sistem pam air dan membina tangki simpanan air manakala GPF bertanggungjawab memasang sistem penapisan air.

Inisiatif Schneider Electric ini selari dengan tanggungjawab sosial korporat menerusi ‘Light It Up’ iaitu satu program yang membolehkan masyarakat luar bandar di seluruh rantau Asia Pasifik menikmati bekalan elektrik agar kehidupan mereka dapat diteruskan.

Lebih daripada 100 isi rumah di kampung Binjai ketika ini menikmati manfaat daripada sistem bekalan air baru ini.

Sebelum pemasangan SWPS dibuat, penduduk hanya bergantung kepada air bawah tanah dan air hujan untuk minum, kegunaan harian manakala kolam takungan air berdekatan untuk mandi dan membasuh pakaian.

Bagaimanapun, air di kolam berkenaan didapati tercemar disebabkan aktiviti pembalakan dan perlombongan di kawasan itu.

Dijana melalui tenaga solar, SWPS mudah dan memiliki keupayaan inovatif untuk menapis dan pam air secara selamat dan bersih.

Sistem ini direka untuk mengepam air dari telaga ke sistem penapisan yang kemudian dimasukkan ke dalam tangki simpanan air yang boleh diakses penduduk Kampung Binjai.

Presiden Serantau Schneider Electric Malaysia, Soo Pow Leong berkata, kurangnya bekalan air dan akses kepada air bersih menimbulkan masalah besar di negara kita sejak beberapa tahun lalu terutama di kawasan luar bandar.

“Kekurangan bekalan air yang mencukupi menjejaskan kesihatan masyarakat luar bandar terutama dalam kalangan golongan miskin.

“Schneider Electric mereka cipta sistem solar ini bagi menyediakan air bersih kepada masyarakat yang terhad dan tidak mempunyai akses kepada bekalan elektrik.

“Inovatif ini juga berperanan untuk mengurangkan beban kewangan penduduk kampung. Ia adalah penyelesaian mampan, mampu dipercayai dan kos efektif untuk menangani dilema kekurangan bekalan air di kampung Binjai,” katanya.

Kampung Binjai mempunyai kira-kira 200 penduduk, dengan majoritinya adalah Orang Asli yang sudah bermastautin lebih dari 60 tahun.

Orang Asli Community Care (OACC) sebelum ini sudah membekalkan pam berkuasa diesel yang membolehkan air di dalam telaga dipam ke pusat pengumpulan air.

Bagaimanapun, sumber air itu tidak mencukupi untuk penduduk kampung, malah pam berkenaan rosak akibat pencemaran air di dalam tangki bahan api dan kemungkinan komponennya berkarat kerana tempat letak tangki yang tidak sesuai hingga wujudnya unsur luar.

Sejak itu, penduduk kampung terpaksa memikul air dari telaga di dalam bekas atau baldi dan kembali ke rumah masing-masing.

Dengan adanya sistem pam air baru berkuasa solar, penduduk kampung tidak lagi perlu berjalan jauh untuk mendapatkan bekalan air bagi kegunaan harian.

Sistem baru yang memiliki tenaga dan cekap kos berjaya memberi penduduk kampung air bersih berbanding air yang tidak dirawat untuk kegunaan memasak.

Lanjutan daripada program itu, Schneider Electric turut menghadiahkan lampu Mobiya kepada kanak-kanak di kampung berkenaan.

Kampung Binjai tidak mempunyai kabel elektrik dan kebanyakan penduduk masih menggunakan lampu minyak di waktu malam.

Sesetengah keluarga berjaya memiliki dan menjaga sendiri lampu solar kecil mereka sepanjang lima tahun lalu. Namun, kebanyakan lampu solar itu hampir mencapai jangka hayatnya.

Rangkaian produk mudah alih Mobiya pernah memenangi anugerah cekap tenaga dan lampu LED mesra alam yang bertahan sehingga 48 jam selepas seharian dicaj dengan tenaga suria.

Lampu ini membolehkan kanak-kanak belajar dan menyiapkan tugasan di rumah dengan mudah pada waktu malam.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 24 Februari 2017 @ 5:01 AM