FOTO HIASAN
FOTO HIASAN
Siti Rohana Idris


SUSPEK kedua yang disyaki terbabit dalam kes penemuan mayat lelaki di belakang rumah kosong di Jalan Pintu Pong, Kota Bharu ditahan malam tadi.

Ketua Polis daerah Kota Bharu, Asisten Komisioner Abdul Rahim Daud, berkata lelaki yang berusia 30-an tampil di Balai Polis Kota Bharu kira-kira 7.45 malam tadi sebaik nampak tali kuning garisan polis di perkarangan rumah kosong terbabit.

"Ketika kembali ke rumah kosong berkenaan, suspek ternampak tali kuning garisan polis dan datang ke balai (polis) mungkin untuk dapatkan penjelasan berkaitan perkara itu.

"Pihak polis membuat tangkapan ke atasnya dan kedua-dua suspek mengenali mangsa," katanya ketika dihubungi hari ini.

Abdul Rahim berkata reman terhadap dua lelaki itu bermula hari ini sehingga 16 Mei dan kes disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan (KK).

Semalam media melaporkan penemuan mayat lelaki tanpa dokumen dengan kesan cedera di bahagian kepala, bawah mata dan rusuk kiri di belakang rumah yang dipercayai dijadikan tempat tinggal oleh gelandangan.

Mangsa dipercayai terbabit dengan pergaduhan berikutan penemuan kesan darah di lantai dan dinding di bahagian ruang tamu rumah kosong dua tingkat itu.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 10 Mei 2020 @ 10:10 PM