GAMBAR hiasan. FOTO Bernama
GAMBAR hiasan. FOTO Bernama
Amirul Aiman Hamsuddin


Kuala Selangor: Identiti seorang lelaki yang ditemukan meninggal dunia dengan beberapa kesan tembakan pada tubuhnya di Taman Alam Jaya, Puncak Alam, di sini, masih menjadi misteri.

Ketua Polis Daerah Kuala Selangor, Superintendan Ramli Kasa, berkata sehingga kini pihaknya belum mendapat maklumat sebenar berkaitan mangsa termasuk pekerjaannya.

Pada masa sama katanya, mayat warga tempatan berusia 29 tahun itu kini berada di Hospital Al-Sultan Abdullah Universiti Teknologi MARA (UiTM) Puncak Alam untuk proses bedah siasat.

"Kita akan menjalankan pemeriksaan cap jari dengan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) bagi mendapatkan identiti sebenar lelaki itu.

"Selepas memperolehnya, kita akan menyemak sama ada mangsa mempunyai rekod jenayah lampau atau sebaliknya," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Semalam, media melaporkan polis menerima laporan berhubung kejadian tembakan itu pada jam 11.40 pagi.

Kejadian terbabit berlaku di deretan rumah kedai satu tingkat Pusat Industri Alam Jaya di mana mangsa ditemukan dalam keadaan tertiarap.

Turut ditemui, sebuah motosikal Yamaha LC 135 dipercayai ditunggang mangsa.

Pihak forensik Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor hadir ke lokasi bagi menjalankan siasatan dan berjaya menemui beberapa kelongsong peluru.

Sementara itu, Ramli berkata, saksi kejadian yang menetap di perumahan berhampiran mendakwa terdengar bunyi tembakan dan melihat mangsa terjatuh di lokasi kejadian.

"Suspek yang terbabit dalam kes itu turut belum dikenal pasti setakat ini.

"Motif kejadian masih disiasat termasuk kemungkinan berkaitan kegiatan kongsi gelap," katanya.

Menurutnya, siasatan dijalankan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan (KK).

Berita berkaitan:

  • Mayat dengan kesan tembakan ditemukan di deretan rumah kedai
  • Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 13 Ogos 2022 @ 4:13 PM