Siti Rohana Idris


MAYAT lelaki ditemui dengan kesan cedera di kepala, bawah mata dan rusuk kiri di belakang rumah kosong di Jalan Pintu Pong, Kota Bharu, tengah hari tadi.

Polis menerima panggilan berhubung penemuan mayat tanpa identiti yang dianggarkan sudah meninggal dunia kira-kira dua hari itu pada jam 12.30 tengah hari.

Ketua Polis Daerah Kota Bharu, Asisten Komisioner Abdul Rahim Daud berkata, mangsa dianggarkan berusia antara 20 hingga 30 tahun dan lokasi penemuannya adalah tempat tinggal gelandangan.

"Hasil pemeriksaan oleh pasukan forensik dan pegawai penyiasat, tiada sebarang dokumen ditemui untuk mengesahkan identiti mangsa.

"Pemeriksaan di badan mangsa menemui beberapa kecederaan di kepala, bawah mata dan rusuk kiri.

"Turut ditemui adalah kesan darah di lantai serta dinding ruang tamu rumah dan kemungkinan mangsa terbabit dalam kes pergaduhan," katanya ketika ditemui di lokasi kejadian.

ANGGOTA polis mengawal lokasi penemuan mayat. FOTO Nik Abdullah Nik Omar
ANGGOTA polis mengawal lokasi penemuan mayat. FOTO Nik Abdullah Nik Omar

Mayat dibawa ke Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II) untuk proses bedah siasat.

Abdul Rahim berkata, pihaknya turut menahan seorang lelaki berusia 40-an untuk membantu siasatan.

Menurutnya, mangsa dan lelaki terbabit dipercayai saling mengenali dan polis menjalankan siasatan lanjut sama ada berlaku pergaduhan antara kedua-duanya berdasarkan kesan darah yang ditemui.

"Motif kejadian juga masih dalam siasatan dan kita juga sedang mengesan saksi bebas yang boleh membantu merungkaikan kes ini.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan (KK)," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 9 Mei 2020 @ 6:03 PM