Mayat mangsa tembak yang ditemui tersangkut pada pokok di tebing Sungai Golok. FOTO IHSAN POLIS
Mayat mangsa tembak yang ditemui tersangkut pada pokok di tebing Sungai Golok. FOTO IHSAN POLIS
Siti Rohana Idris


Tumpat: Mayat lelaki dengan empat kesan tembakan di kepala ditemukan tersangkut pada pokok di tebing Sungai Golok di Bukit Bunga, Tanah Merah.

Mayat itu ditemui pada 3 petang semalam oleh lelaki yang memancing berhampiran Pangkalan Haram Belakang Berek 12.

Ketua Polis Kelantan, Datuk Muhamad Zaki Harun berkata, tiada sebarang dokumen pengenalan diri dijumpai bersama mayat itu yang hampir reput dan hanya berseluar.

"Berdasarkan keadaan mayat, kita percaya kematiannya sudah lebih dua minggu dan proses pengecaman agar sukar dibuat.

"Begitu juga dengan kesan tembakan, kita percaya mangsa ditembak dalam jarak dekat namun siasatan lanjut akan dijalankan bagi mengetahui jenis pistol yang digunakan.

"Proses bedah siasat dijalankan di Hospital Tanah Merah dan kita juga akan melihat kesan lain di badan termasuk kesan suntikan imunisasi BCG serta dapatkan cap jari untuk ujian DNA (asid deoksiribonukleik)," katanya pada sidang media di sini, hari ini.

Muhamad Zaki berkata, hebahan sudah dibuat di semua daerah, sama ada terdapat laporan orang hilang dan sebagainya.

Katanya, hebahan sama turut diuar-uarkan di negara jiran, manakala kes itu disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan (KK).

Terdahulu, beliau hadir di Balai Polis Wakaf Bharu yang memenangi balai polis terbaik dalam Majlis Anugerah Pengurusan Perumahan Terbaik PDRM 2021.

Sementara itu berhubung empat anggota polis yang terbabit dalam siasatan kes samun dan cabul di Tanah Merah, Muhamad Zaki berkata, siasatan lanjut masih lagi dijalankan.

"Kita perlukan masa untuk meneliti dan mengambil beberapa kenyataan lagi, sebelum laporan dihantar kepada pihak atasan," katanya yang memberitahu tindakan akan diambil terhadap anggota yang menyalahi peraturan.

Rabu lalu, empat konstabel dan koperal polis ditahan untuk siasatan mengikut Seksyen 395 / 354 KK.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 2 January 2023 @ 3:05 PM