PIHAK polis dan PPDA, JBPM sedang mencari rangka motosikal yang dibuang suspek ke dasar Sungai Baung, Pengkalan Chepa..FOTO Hazira Ahmad Zaidi
PIHAK polis dan PPDA, JBPM sedang mencari rangka motosikal yang dibuang suspek ke dasar Sungai Baung, Pengkalan Chepa..FOTO Hazira Ahmad Zaidi
Hazira Ahmad Zaidi


TERPAKSA menyelam lebih satu jam setengah selain meredah selut sehingga 0.5 meter untuk mencari rangka motosikal curi di dasar Sungai Baung, Pengkalan Chepa, Kota Bharu, hari ini.

Itu kesukaran yang dihadapi empat anggota polis Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis (IPD) Kota Bharu serta anggota Pasukan Penyelamat Di Air ( PPDA) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) untuk mencari bahan bukti kes.

Tindakan itu diambil susulan penahanan seorang lelaki berusia 24 tahun di sekatan jalan raya (SJR) Salor pada jam 5.30 petang, Sabtu lalu.

Ketua Polis Daerah Kota Bharu Asisten Komisioner Abdul Rahim Daud berkata, selaman dilakukan selama sejam setengah bermula jam 2 hingga 3.30 petang.

"Kami menemui tujuh rangka dan lima enjin dari motosikal Yamaha 125ZR serta Honda EX5 yang kemudiannya dihantar IPD Kota Bharu untuk siasatan lanjut," katanya di Kota Bharu, hari ini.

Operasi membabitkan 17 anggota dan pegawai yang diketuai Pegawai Risikan Operasi Bahagian Siasatan Jenayah IPD Kota Bharu, Asisten Superintendan Mohd Hanafi Mohd Yahaya.

Abdul Rahim berkata, pada mulanya, suspek ditahan kerana melanggar Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) selepas berada dalam keadaan mencurigakan.

Katanya, hasil pemeriksaan dilakukan ke atas suspek, pihak polis menemui besi tajam berbentuk 'T' di dalam beg sandang miliknya yang digunakan untuk kegiatan mencuri motosikal.

Katanya, ketika itu, suspek dipercayai dalam perjalanan melakukan kegiatan mencuri.

"Hasil soal siasat mendapati suspek bergiat aktif dalam kegiatan mencuri motosikal sejak setahun lalu dan mengaku melakukan jenayah ini seorang diri," katanya.

Beliau berkata, polis turut membawa suspek ke sungai berkenaan bagi menunjukkan rangka dan enjin motosikal yang dibuang bagi melupuskan bahan bukti.

Menurutnya, motosikal yang dicuri akan dileraikan terlebih dahulu sebelum suspek mengambil alat ganti dan membuang rangka motosikal pada tengah malam.

Abdul Rahim berkata, suspek direman selama tujuh hari bermula 2 hingga 8 Mei ini bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 379A Kanun Keseksaan (KK).

Selain itu, suspek turut melakukan kesalahan melanggar PKP mengikut Peraturan 11(1) Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-Langkah di Dalam Kawasan Tempat Jangkitan) 2020.

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan
  • Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 6 Mei 2020 @ 6:47 PM