DATUK Seri Saripuddin Kassim. FOTO Arkib NSTP
DATUK Seri Saripuddin Kassim. FOTO Arkib NSTP
Yusmizal Dolah Aling


KERAJAAN mengumumkan pelantikan Datuk Seri Saripuddin Kassim sebagai Pengerusi Eksekutif Suruhanjaya Penerbangan Malaysia (Mavcom) berkuat kuasa mulai 4 Mei 2020.

Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong berkata, Saripuddin adalah seorang kakitangan awam profesional yang sudah berkhidmat dengan kerajaan selama hampir empat dekad.

Katanya, beliau adalah mantan Ketua Setiausaha Kementerian Wilayah Persekutuan, Kementerian Pengangkutan, Kementerian Sumber Manusia serta Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan.

"Saripuddin yang berasal dari Kedah ini juga berkelulusan sarjana dalam bidang Kewangan Korporat dari University of Hartford, Amerika Syarikat dan Sarjana Muda Ekonomi dari Universiti Malaya.

"Beliau pernah berkhidmat sebagai penasihat Kedutaan Besar Malaysia di Tokyo, Jepun serta berkhidmat di Suruhanjaya Tinggi Malaysia di London, England," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Ka Siong berkata, berdasarkan pengetahuan dan pengalaman yang luas di beberapa sektor pengangkutan, Saripuddin juga pernah berkhidmat sebagai pihak berkuasa di beberapa pelabuhan, termasuk Pelabuhan Klang, Pulau Pinang, Melaka, Labuan dan Bintulu serta Prasarana Berhad, MyHSR Corporation Sdn Bhd, dan Railway Assets Corporation .

Menurutnya, beliau akan menggantikan tempat Dr Nungsari Ahmad Radhi, yang mengundurkan diri pada 10 April 2020 lalu.

"Bagi pihak kementerian, saya ingin mengucapkan terima kasih kepada Dr Nungsari atas kepimpinan dan khidmat yang sangat berharga, dan saya juga mendoakan beliau dikurniakan kesihatan baik sentiasa," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 1 Mei 2020 @ 11:09 PM