Amir Mamat


Melaka: Kementerian Pengangkutan menggantung serta-merta kebenaran latihan penerbangan kepada syarikat My Heli Club selama enam bulan, susulan dua kemalangan membabitkan tiga helikopter syarikat berkenaan, baru-baru ini.

Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong berkata, penggantungan itu bagaimanapun hanya membabitkan sijil latihan penerbangan, manakala penerbangan persendirian masih dibenarkan seperti biasa.

"Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM) membuat keputusan menggantung kebenaran latihan penerbangan itu di bawah Peraturan 67, Peraturan-Peraturan Penerbangan Awam 2016.

"Keputusan selepas mendapati syarikat itu mempunyai tiga helikopter dan dua daripadanya sudah terbabit nahas pada 8 November lalu di Taman Melawati, Selangor dan di Pulau Indah, Klang pada 1 Januari lalu," katanya selepas merasmikan Majlis Pecah Tanah Pembangunan Litar Latihan Ujian Memandu di Akademi Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Tiang Dua di sini, hari ini.

Hadir sama, Exco Kerja Raya, Pengangkutan, Kemudahan Awam dan Infrastruktur negeri, Datuk Roslan Ahmad; Ketua Setiausaha Kementerian Pengangkutan, Datuk Isham Ishak dan Ketua Pengarah JPJ, Datuk Zailani Hashim.

Beliau berkata, keputusan penggantungan itu dimaklumkan kepada pihak kelab berkenaan, hari ini yang mana ia berteraskan faktor keselamatan selaras peraturan penerbangan awam Malaysia.

Pada 8 November lalu, dalam kejadian di Taman Melawati, sebuah helikopter milik My Heli Club terhempas dan meragut dua nyawa, sementara sebuah helikopter lagi berjaya melakukan pendaratan cemas.

Insiden hampir sama berulang lagi pada 1 Januari lalu yang mana helikopter berkenaan terhempas selepas hilang kawalan ketika membuat latihan 'hovering' di satu kawasan lapang berhampiran Zon Bebas Pelabuhan Klang (PKFZ) di Pulau Indah.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 5 January 2021 @ 1:21 PM