MOHD KHAIRUL ADIB. FOTO Arkib NSTP
MOHD KHAIRUL ADIB. FOTO Arkib NSTP
Mohd Husni Mohd Noor


DATUK Mohd Khairul Adib Abdul Rahman, 57, dilantik sebagai Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam (KPPA) yang baharu menggantikan Tan Sri Borhan Dolah yang bersara pada 9 September lalu.

Perkara itu diumumkan Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Dr Ismail Bakar, dalam kenyataan hari ini.

Ismail berkata, Mohd Khairul Adib sebelum ini memegang jawatan sebagai Ketua Setiausaha Kementerian Pengangkutan dan berkhidmat dalam perkhidmatan awam selama 31 tahun dengan memulakan karier sebagai Pegawai Tadbir dan Diplomatik pada 12 Januari 1988.

Beliau berkata, Mohd Khairul Adib yang berkelulusan Ijazah Sarjana Muda Sains dari Universiti Kebangsaan Malaysia dan Ijazah Sarjana Sains Polisi dari Saitama University, Jepun mempunyai pengalaman luas dalam pengurusan dan perkhidmatan awam.

“Beliau pernah berkhidmat sebagai Ketua Setiausaha dan Timbalan Ketua Setiausaha di Kementerian Pengangkutan, Setiausaha Bahagian di Kementerian Pendidikan dan Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (sekarang dikenali sebagai Kementerian Tenaga, Sains, Teknologi, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim).

“Selain itu, beliau pernah berkhidmat di Kementerian Sumber Asli dan Alam Sekitar (sekarang Kementerian Air, Tanah dan Sumber Asli) dan bertugas sebagai Penasihat Pendidikan dan Latihan di Tokyo, Jepun dan London, United Kingdom,” katanya.

Katanya, kerajaan juga merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada Borhan di atas segala khidmat bakti sepanjang tempoh memegang jawatan Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam Malaysia, khususnya membawa pembaharuan dalam sistem perkhidmatan awam dan sumbangan beliau kepada negara.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 28 September 2019 @ 10:13 AM