Sebahagian penuntut Pahang yang berada di negara Timur Tengah. Foto Ihsan Alya Fahimah Azmi
Sebahagian penuntut Pahang yang berada di negara Timur Tengah. Foto Ihsan Alya Fahimah Azmi
Mohd Rafi Mamat

PENUNTUT Pahang yang sedang melanjutkan pengajian di negara Timur Tengah tidak berminat untuk pulang ke tanah air bagi menjamin keselamatan mereka.

Penuntut Jurusan Usuluddin di Universiti Al-Azhar Kaherah, Alya Fahimah Azmi, 21, berkata, dia lebih selesa berada di Mesir bersama rakan walaupun boleh untuk pulang ke Malaysia.

Menurutnya, selain terdedah dengan wabak Covid-19, faktor lain yang menyebabkan ramai penuntut tidak berminat untuk pulang ialah kerana tambang penerbangan yang meningkat dua kali ganda berbanding sebelum ini selain jumlah penerbangan terhad.

“Penuntut dalam jurusan agama kebanyakan akan menghadapi peperiksaan bulan depan, kini kami sedang membuat persiapan menghadapi peperiksaan berkenaan.

“Hanya penuntut dalam jurusan perubatan mungkin akan pulang ke tanah air bergantung kepada penerbangan yang ada,” katanya ketika dihubungi di Kuantan semalam.

Kini terdapat seramai 670 penuntut dan sebahagian besar mereka bukan tajaan Yayasan Pahang melanjutkan pengajian dalam pelbagai bidang membabitkan 600 di Mesir, 60 (Jordan) dan 10 lagi di Maghribi.

Alya Fahimah berkata, dia bagi pihak penuntut Pahang di Timur Tengah mengucapkan terima kasih kepada Menteri Besar Pahang Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail yang prihatin dengan menyalurkan bantuan kewangan RM200 kepada setiap penuntut.

Menurutnya, difahamkan semua penuntut bukan tajaan Yayasan Pahang sudah menerima bantuan berkenaan minggu lalu bagi kegunaan semasa.

“Sebagai anak Pahang saya dan rakan lain merasa bertuah apabila menerima pelbagai bantuan dan kemudahan yang disediakan kerajaan yang dilihat tidak pernah mengabaikan tanggungjawab kepada golongan penuntut di luar negara.

“Kesukaran berada di Mesir yang turut berhadapan pandemik Covid-19 terubat apabila mendapat perhatian kerajaan menerusi Yayasan Pahang,” katanya yang berasal Taman Seri Inderapura.

Rakannya, Norshahida Alwi, 26, yang melanjutkan pengajian dalam jurusan Syariah Islamiah di universiti sama berkata, Mesir juga menguatkuasakan larangan keluar rumah dan semua penuntut hanya memenuhi masa dengan mengulangkaji pelajaran sebagai persiapan menghadapi peperiksaan bulan depan.

“Saya mengucapkan terima kasih kepada Menteri Besar Pahang yang prihatin dengan menyediakan bantuan kewangan kepada penuntut di Timur Tengah.

“Saya dan penuntut lain tidak menduga berpeluang menerima bantuan RM200, rezeki kami sudah tertulis untuk menerimanya,” katanya yang berasal dari Chenor, Maran.

Menurutnya, penuntut mula bercuti sejak 12 Mac lalu berikutan kejadian banjir di Mesir dan kemudiannya bersambung dengan cuti pandemik Covid-19 hingga 23 April.

“Tidak ada sebarang masalah dihadapi pelajar yang semua menetap di rumah Pahang,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 19 April 2020 @ 11:23 AM