DR Apli (kanan) diiringi Pengurus Besar Negeri, Pejabat PTPTN Negeri Terengganu, Azizah Nasik@Abd Rashid (kiri) menyampaikan surat tawaran WPP kepada pelajar di Kuala Nerus, Terengganu.
DR Apli (kanan) diiringi Pengurus Besar Negeri, Pejabat PTPTN Negeri Terengganu, Azizah Nasik@Abd Rashid (kiri) menyampaikan surat tawaran WPP kepada pelajar di Kuala Nerus, Terengganu.
Suliati Asri


Kuala Lumpur: Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) terus komited membantu penuntut yang akan memasuki institusi pengajian tinggi awam (IPTA) dengan menyediakan Wang Pendahuluan Pinjaman (WPP).

PTPTN menyediakan WPP dengan peruntukan berjumlah RM42.4 juta kepada seramai 28,278 penuntut yang berjaya melanjutkan pengajian ke IPTA bagi kemasukan sesi Oktober 2022.

Sejak diperkenalkan pada 1999 sehingga 31 Ogos lalu, seramai 954,465 penuntut sudah menerima manfaat WPP dengan peruntukan berjumlah RM1.41 bilion.

Menerusi WPP, sebanyak RM1,500 akan diberikan kepada setiap penuntut warga negara Malaysia yang bersetuju menerima bantuan itu melalui saluran ditetapkan PTPTN dan ibu bapa atau penjaga pelajar adalah penerima Bantuan Keluarga Malaysia (BKM) serta memenuhi kriteria yang ditetapkan.

Pengerusi PTPTN Dr Apli Yusoff berkata, inisiatif pemberian WPP PTPTN itu adalah untuk membantu menampung sebahagian perbelanjaan bagi persiapan awal penuntut baharu memasuki IPTA.

Menurutnya, di Terengganu seramai 1,825 penuntut ditawarkan WPP dengan peruntukan berjumlah RM2.7 juta.

Katanya, bagi kawasan Kuala Nerus pula, seramai 239 penuntut membabitkan peruntukan berjumlah RM358,500.

"PTPTN sebagai agensi di bawah Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) sentiasa berusaha membantu ibu bapa dan penuntut yang berjaya melanjutkan pengajian ke IPTA sekali gus komited memastikan tiada penuntut yang tercicir ke IPTA.

"Tahniah dan syabas kepada semua penuntut kerana berjaya melangkah ke menara gading.

"WPP PTPTN yang diterima penuntut ini haruslah digunakan dengan sebaik mungkin.

"Tunjukkanlah rasa syukur dan terima kasih dengan belajar bersungguh-sungguh sehingga menjadi modal insan unggul kepada negara," katanya selepas sesi ziarah ke rumah penuntut di kawasan Kuala Nerus, baru-baru ini.

Tempoh sah laku WPP itu adalah selama dua bulan bermula 5 Oktober hingga 5 Disember dan penuntut yang berjaya kini sudah boleh menunaikan WPP di kaunter Bank Islam Malaysia Berhad (BIMB) dengan membawa surat tawaran WPP dan juga MyKad penuntut (wakil adalah tidak dibenarkan).

Penuntut yang membuat permohonan pinjaman PTPTN bagi tempoh 1 September hingga 30 September sudah boleh membuat semakan kelulusan pinjaman.

Penuntut belum mengemukakan permohonan, boleh membuat permohonan secara dalam talian melalui portal rasmi PTPTN sehingga 31 Oktober ini bagi kelompok kedua untuk memastikan pinjaman dapat diproses dan diluluskan sewajarnya.

Penuntut juga boleh merujuk kepada Bahagian Hal Ehwal Pelajar IPT masing-masing atau terus menghubungi PTPTN sekiranya terdapat sebarang pertanyaan.

Maklumat lanjut berkenaan WPP dan pinjaman PTPTN, layari portal rasmi PTPTN di www.ptptn.gov.my.

Penuntut juga boleh mendapatkan maklumat pinjaman dengan cepat, mudah dan selamat melalui aplikasi mudah alih myPTPTN.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 13 Oktober 2022 @ 12:32 PM