Datuk Ahmad Hairi Hussain menyampaikan bantuan kepada pelajar yang akan melanjutkan pengajian ke Mesir dan Jordan pada Majlis penyampaian sumbangan kepada pelajar yang melanjutan pelajaran ke Mesir dan Jordan 2023 di Dewan Auditorium Universiti Islam Pahang Sultan Ahmad Shah. FOTO MOHD RAFI MAMAT
Datuk Ahmad Hairi Hussain menyampaikan bantuan kepada pelajar yang akan melanjutkan pengajian ke Mesir dan Jordan pada Majlis penyampaian sumbangan kepada pelajar yang melanjutan pelajaran ke Mesir dan Jordan 2023 di Dewan Auditorium Universiti Islam Pahang Sultan Ahmad Shah. FOTO MOHD RAFI MAMAT
Mohd Rafi Mamat

Kuantan: Majlis Ugama Islam dan Adat Resam Melayu (MUIP) mengagihkan bantuan zakat pendidikan sebanyak RM327,640 kepada 95 pelajar yang akan menyambung pengajian ke Mesir dan Jordan dalam pelbagai jurusan.

Ketua Pegawai Eksekutif MUIP, Datuk Ahmad Hairi Hussain berkata, bantuan kewangan yang diberikan bagi membantu meringankan beban keluarga yang terpaksa menyediakan sumber kewangan untuk anak mereka terutama di peringkat awal kemasukan.

Katanya, bantuan awal setiap pelajar menerima wang saku sebanyak RM1,200, selain tajaan tiket penerbangan ke Mesir (RM2,600) dan Jordan (RM3,360).

"Setiap tahun pelajar yang berada di Mesir dan Jordan layak memohon dermasiswa yang disediakan MUIP. Mereka layak menerima antara RM6,000 hingga RM9,000 bergantung kepada keputusan peperiksaan tahunan.

"Sebelum ini dermasiswa antara RM6,000 hingga RM7,000 setahun, namun disebabkan kos sara hidup yang meningkat jumlah bantuan dinaikan. Tahun lalu seramai 270 pelajar menerima dermasiswa.

"Saya berharap pelajar yang berpeluang melanjutkan pengajian di Mesir dan Jordan dapat belajar bersungguh-sungguh untuk mencatat keputusan cemerlang setiap peperiksaan tahunan, jangan hanya berpuas hati setakat lulus sahaja," katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis penyampaian sumbangan kepada pelajar yang melanjutan pelajaran ke Mesir dan Jordan 2023 di Dewan Auditorium Universiti Islam Pahang Sultan Ahmad Shah (UnIPSAS), di sini semalam.

Hadir sama Pengarah Jabatan Agama Islam Pahang (JAIP), Datuk Dr Zulkifle Ali.

Bagi Abdullah Azam Mohd Tarmizi, 20, dia bersyukur berpeluang melanjutkan pengajian di Universiti Al-Azhar, Mesir, di peringkat ijazah sarjana muda syariah selepas menamatkan pendidikan Kulliah Al Lughah Waddin As Sultan Abu Bakar, Pekan.

"Bantuan yang diberikan MUIP dapat meringankan beban keluarga yang terpaksa menyediakan perbelanjaan untuk kegunaan saya di Mesir, selain itu turut dapat menjadi pendorong untuk lebih tekun belajar dan mencatat kejayaan yang membanggakan.

"Cita-cita untuk menjadi guru turut menjadi pembakar semangat untuk saya berjaya dalam pelajaran seterusnya membalas kepercayaan keluarga dan MUIP," kata anak sulung daripada lima beradik itu

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 12 September 2023 @ 9:30 AM