SUSPEK yang ditahan susulan penemuan beberapa bahagian hidupan liar dilindungi di dalam peti sejuk. FOTO Ihsan PERHILITAN
SUSPEK yang ditahan susulan penemuan beberapa bahagian hidupan liar dilindungi di dalam peti sejuk. FOTO Ihsan PERHILITAN
Mohd Jamilul Anbia Md Denin

MASIH berani menyusup dan kegiatan memburu secara haram di dalam hutan ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dikuatkuasakan.

Ini dibuktikan apabila pegawai dan kakitangan Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Semenanjung Malaysia berjaya membongkar.

Ketua Pengarah Perhilitan, Datuk Abdul Kadir Abu Hashim berkata, berdasarkan maklumat diperoleh, seramai 13 pegawai penguat kuasa Perhilitan melakukan serbuan mengejut di sebuah ladang di Genting Highlands, Pahang pada jam 11.45 pagi, kelmarin.

Menurutnya, pemeriksaan tertumpu di kawasan kediaman pekerja ladang itu yang didiami warga Vietnam.

“Hasil pemeriksaan dilakukan menemui bahagian kambing Gurun yang juga haiwan liar dilindungi seberat lebih 25 kilogram selain bahagian babi hutan seberat lebih 6 kilogram.

“Turut ditemui adalah hempedu dan najis kambing gurun selain jerat dawai dipercayai digunakan suspek untuk menjerat haiwan liar itu,” katanya.

Kadir berkata, anggotanya turut melakukan pemeriksaan terhadap dua lelaki warga Vietnam yang dipercayai ada kaitan dengan penemuan hidupan liar yang mati dijerat itu.

“Bahagian hidupan liar ditemui itu tidak memiliki dokumen yang sah daripada Perhilitan. Semua bahagian hidupan liar itu kemudian dirampas dan dibawa ke Pejabat Perhilitan Daerah Temerloh, Pahang, untuk tindakan lanjut. Kes akan disiasat mengikut Akta Pemuliharaan Hidupan Liar 2010 (Akta 716) yang boleh dikenakan denda tidak lebih RM100,000 atau penjara tidak lebih tiga tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan,” katanya.

KAMBING Gurun yang dijerat secara haram sebelum dirampas pegawai Perhilitan. FOTO Ihsan PERHILITAN
KAMBING Gurun yang dijerat secara haram sebelum dirampas pegawai Perhilitan. FOTO Ihsan PERHILITAN

Sementara itu, dalam kes berasingan, pihak Perhilitan Johor turut melakukan serbuan di sebuah premis di dalam kandang lembu di Kampung Sungai Tiram, Johor pada jam 4.45 petang Jumaat lalu.

Hasil pemeriksaan dilakukan menemui bahagian babi hutan yang sudah dilapah seberat lebih 110 kilogram di dalam peti sejuk beku.

Turut dirampas seunit alat penimbang dan telefon pintar milik suspek lelaki tempatan berusia 40-an yang berada di lokasi itu.

“Hasil soal siasat, lelaki itu gagal mengemukakan sebarang dokumen atau lesen yang sah daripada Jabatan Perhilitan untuk memiliki kesemua bahagian hidupan itu.

“Susulan itu semua bahagian hidupan liar dilindungi itu dirampas dan dibawa ke pejabat Perhilitan Daerah Bandar Penawar untuk siasatan lanjut,” katanya.

  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan
  • Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 19 April 2020 @ 7:45 AM