SUSPEK warga Vietnam yang ditahan.
SUSPEK warga Vietnam yang ditahan.
Oleh Mohd Jamilul Anbia Md Denin


Putrajaya: Menyamar masuk ke Malaysia sebagai pelancong asing. Namun hakikatnya 12 lelaki warga Vietnam terbabit adalah pemburu haram profesional yang turut memiliki kepakaran mengawet organ hidupan liar dibunuh.

Mereka disifatkan amat kejam apabila membunuh pelbagai spesies hidupan liar dilindungi antaranya tenggiling, tapir, buaya, memerang, musang, landak raya, babi hutan dan pelbagai haiwan lain.

Itu antara kegiatan haram dibongkar pasukan taktikal khas Special Protected Area Response Team (Sparta) Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) hasil beberapa serbuan di Dungun, Terengganu, semalam.

Ketua Pengarah Perhilitan, Datuk Abdul Kadir Abu Hashim berkata, kegiatan haram itu ditumpaskan hasil serbuan pertama di sebuah kediaman di Felda Kerteh 5, Ketengah Jaya, Dungun, Terengganu pada jam 6.40 petang kelmarin.

Menurutnya, enam anggota Sparta menahan tujuh lelaki warga Vietnam disyaki melakukan aktiviti pemburuan haram haiwan liar dilindungi secara agresif.

"Hasil pemeriksaan dilakukan di premis itu, Perhilitan menemui pelbagai organ dan daging hidupan liar yang sudah dilapah.

ANTARA organ  dan bahagian hidupan liar yang dirampas Perhilitan.
ANTARA organ dan bahagian hidupan liar yang dirampas Perhilitan.

"Antara ditemui kuku hidupan liar disimpan dalam beg kain. Anggota tubuh hidupan liar disimpan di dalam bekas polisterin, selain 13 bahagian organ hidupan liar," katanya.

Kadir memberitahu pihaknya merampas sisik tenggiling, duri landak, kaki biawak, gigi dan taring hidupan liar.

"Selain itu Perhilitan merampas balang kaca berisi burung dan dua organ dalaman hidupan liar yang sudah diawet di dalamnya.

"Suspek juga dipercayai terbabit dengan aktiviti mencuri kayu gaharu di dalam hutan simpan negara ini," katanya.

Kadir berkata, susulan serbuan pertama itu, pihaknya menyerbu sebuah lagi rumah di Felda Kerteh 2, Ketengah Jaya, Dungun dan menahan empat lagi individu warga Vietnam.

"Seorang suspek sempat melarikan diri. Hasil pemeriksaan menemui 12 gelung dawai dipercayai digunakan sebagai jerat menangkap hidupan liar dilindungi.

"Turut dirampas tiga mata lembing, dua parang, dua kapak dan peralatan perkhemahan," katanya.

Beliau berkata, pegawai Perhilitan merampas taring babi hutan, daging hidupan liar seberat lebih 12 kilogram, 12 kaki babi hutan, seekor memerang, seekor musang, ekor buaya, daging tapir dan pelbagai daging hidupan liar lain.

"Selain itu kami menemui sisik tenggiling, gigi, tulang dan kuku selain tiga ekor burung ruak-ruak. Turut dirampas peluru hidup disimpan suspek.

"Semua hidupan liar yang sudah dilapah dan dipercayai mahu diseludup keluar," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 1 September 2022 @ 12:00 PM