Mohd Adanan Hassan (dua kiri) bertanya khabar penduduk yang menerima sumbangan di Kampung Pulau Seratus. FOTO Siti Rohana Idris.
Mohd Adanan Hassan (dua kiri) bertanya khabar penduduk yang menerima sumbangan di Kampung Pulau Seratus. FOTO Siti Rohana Idris.
Siti Rohana Idris


NASIB 600 keluarga di sembilan kampung di gugusan kepulauan dekat Sungai Kelantan terus terbela dengan sumbangan berkala diuruskan pejabat Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelaboran.

Hari ini, 20 daripada keluarga itu yang tinggal di Kampung Pulau Seratus dan Teluk Renjuna menerima bekalan asas merangkumi barang dapur dan produk segar.

Adun Kelaboran Mohd Adanan Hassan berkata, pihaknya konsisten mengagih bantuan itu supaya tiada penduduk yang tercicir khususnya mereka yang sangat memerlukan.

“Tiada alasan untuk sumbangan tidak sampai kepada penduduk pulau ini, malah mereka adalah penerima yang diutamakan kerana kita menyedari majoriti daripada mereka hanya bekerja kampung dan memperoleh gaji harian.

“Di musim Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ini ramai yang tidak dapat keluar ke tanah besar untuk membeli barang keperluan makanan dan wakil pejabat DUN serta badan bukan kerajaan (NGO) atau orang persendirian tidak menyisihkan mereka,” katanya ketika ditemui, hari ini.

Dalam pada itu, beliau berkata, 2,400 isi rumah di Kelaboran menerima bantuan barang keperluan harian sejak PKP bermula 18 Mac lalu.

Katanya, agihan bantuan akan diteruskan seandainya PKP dilanjutkan lagi, namun fokus kepada barangan mentah untuk kegunaan pada Ramadan.

Sementara itu, Wan Munah Wan Abdullah, 57, yang tinggal di Kampung Pulau Seratus berkata, dia, suami, Mat Saleh Deraman, 65, dan dua anak mengharapkan bantuan pelbagai pihak sepanjang PKP kerana hilang pendapatan.

Katanya, dia hanya mengambil upah mengait dan menjual daun pisang manakala suaminya, bekerja kampung yang dibayar gaji harian.

“Alhamdulillah atas bantuan yang diterima dan kami berjimat cermat supaya bekalan mencukupi untuk tempoh PKP ini,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 17 April 2020 @ 7:08 PM