BENDERA UMNO. FOTO arkib NSTP
BENDERA UMNO. FOTO arkib NSTP
Wartawan HM

Kuala Lumpur: Beberapa muka baharu dalam kalangan calon muda dijangka ditampilkan Umno Kelantan pada Pilihan Raya Negeri 12 Ogos depan.

Ia sekaligus menjadi tawaran baharu kepada rakyat negeri itu untuk melihat perubahan selepas ditadbir Pas sejak 1990.

Antara yang disebut-sebut akan mendapat tempat adalah Ketua Umno Bahagian Pasir Mas, Noor Hariri Mohd Noor yang membawa cabaran di kerusi DUN Tendong.

Manakala Ketua Penerangan Pemuda Umno Bahagian Jeli Wan Mahussin Wan Zain dikatakan akan membawa cabaran di DUN Bukit Bunga dan Ketua Pemuda Umno Tumpat, Rosdi Razali dijangka menjadi calon di DUN Kelaboran.

Sumber Umno berkata, parti itu akan bertanding di 31 kerusi manakala Pakatan Harapan (PH) meletakkan calon mereka di 14 kerusi.

"Antara kerusi yang akan ditandingi Umno adalah Kemuning, Tendong, Paloh, Nenggiri, Galas, Kok Lanas, Bukit Bunga, Kuala Balas dan Apam Putra.

"Pada masa ini, DUN Kota Lama menjadi tumpuan parti lain seperti MCA, dan DAP. Khabarnya Datuk Husam Musa juga mahu bertanding di situ," katanya kepada Harian Metro.

Katanya Pengerusi Badan Perhubungan Umno Kelantan, Datuk Ahmad Jazlan Yaakub berkemungkinan besar diletakkan di DUN Kemuning manakala bekas Ahli Parlimen Tumpat Datuk Che Abdullah Mat Nawi di DUN Wakaf Bharu.

"Seorang lagi calon muda yang dikatakan turut tersenarai adalah Mohd Fareez Noor Amran di DUN Chempaka, berdasarkan gerak kerja politik yang dijalankan di kawasan itu sebelum ini," katanya.

Sementara itu Parti Putra juga dikatakan akan meletakkan calon di dua kerusi iaitu Gual Ipoh dan Galas, namun belum ada kata muktamad sama ada presidennya Datuk Dr Ibrahim Ali akan bertanding.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 5 Julai 2023 @ 1:06 PM