Gambar fail, Bazar Ramadan Pasar Batu Enam, Kuala Terengganu. FOTO Arkib NSTP.
Gambar fail, Bazar Ramadan Pasar Batu Enam, Kuala Terengganu. FOTO Arkib NSTP.
Baharom Bakar


KERAJAAN Terengganu akan menanggung kos penghantaran juadah berbuka puasa yang dipesan secara dalam talian daripada peniaga bazar Ramadan, tahun ini.

Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan dan Alam Sekitar negeri Dr Alias Razak berkata, rakyat yang membuat tempahan menerusi kaedah itu tidak akan dikenakan bayaran tambahan, sebaliknya hanya membayar harga juadah.

“Sejak kerajaan negeri mengumumkan pembatalan penganjuran bazar Ramadan demi mematuhi Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), seramai 7,180 peniaga sudah berdaftar untuk urus niaga secara dalam talian.

“Yayasan Pembangunan Usahawan (YPU) negeri akan menetapkan kadar bayaran kepada penghantar juadah berbuka puasa terdiri daripada jawatankuasa Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK),” katanya yang ditemui pada Operasi Nyah Cemar Peringkat Pasar Awam di Pasar Borong Kampung Gong Pauh, Kuala Terengganu, hari ini.

Hadir sama Timbalan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Ahmad Amzad Hashim.

Dalam pada itu, Dr Alias berkata, kerajaan negeri tidak akan menarik balik pembatalan penganjuran bazar Ramadan jika PKP diumumkan tamat hari ini.

Katanya, kaedah penjualan secara dalam talian itu lebih memanfaatkan masyarakat dan peniaga.

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan
  • Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 10 April 2020 @ 1:07 PM