Bazar Ramadan menjadi tumpuan orang ramai ketika bulan puasa. - Foto Fail
Bazar Ramadan menjadi tumpuan orang ramai ketika bulan puasa. - Foto Fail
BERNAMA

Butterworth: Tidak meletakkan tanda harga dan menjual juadah berbuka puasa dengan harga mahal antara dua kesalahan menyebabkan 19 peniaga di bazar Ramadan di negeri ini diberi amaran keras.

Timbalan Pengarah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepengunaan (KDPNKK) Pulau Pinang Suhaimi Mat Sari berkata, 2,000 peniaga di bazar Ramadan di negeri ini diperiksa sejak permulaan puasa 6 Jun lepas.

"Contohnya seorang peniaga di bahagian pulau didapati menjual dua ikan kembung bakar dengan harga RM11 sedangkan ikan itu dibeli di pasar tidak sampai RM10 sekilogram," katanya selepas lawatan Pelaksanaan Skim Kawalan Harga Musim Perayaan di sebuah pasar raya di Jalan Telaga Air di sini, hari ini.

Beliau berkata pemeriksaan dibuat berdasarkan aduan orang ramai menerusi talian hotline dan laman-laman sosial seperti Facebook.

Menurutnya, mulai esok, peniaga yang melakukan kesalahan mengikut skim kawalan harga dan tidak meletak tanda harga, akan dikenakan kompaun, katanya.

Suhaimi berkata, anggota penguatkuasa KPDNKK membuat pemantauan berterusan di semua pasar basah, pasar raya dan kedai runcit bagi memastikan peniaga mematuhi Skim Kawalan Harga Musim Perayaan yang bermula hari ini hingga 6 Julai.

Tahun ini, 21 jenis barang disenarai dalam skim kawalan harga, antaranya ayam hidup, ayam standard, telur ayam, daging lembu tempatan, cili merah, tomato, kelapa biji, bawang merah, bawang besar dan ikan kembung.

"Peniaga tidak boleh menjual melebihi harga yang ditetapkan dan perlu meletakkan tanda harga merah jambu untuk 21 barang harga terkawal itu," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 16 Jun 2016 @ 6:58 PM