Hazira Ahmad Zaidi


Kota Bharu: Peniaga yang terkesan dengan penutupan bazar Ramadan di negeri ini mengambil inisiatif meneruskan perniagaan mereka dengan membuka kanopi di tepi jalan untuk menjual juadah berbuka puasa hari ini.

Seorang peniaga makanan, Bedah Saud, 55, berkata, selepas kerajaan negeri mengumumkan pembatalan bazar Ramadan di seluruh negeri ini, dia terus menghubungi pihak berkuasa tempatan (PBT) untuk meminta kebenaran berniaga di tepi jalan memandangkan semua persiapan sudah dilakukannya.

"Beberapa hari sebelum pemberitahuan bazar Ramadan dibatalkan, saya dan beberapa peniaga bazar yang lain ada yang sudah membayar tapak sewa dan pada tahun ini saya mengambil dua tapak untuk menjual juadah berbuka puasa.

"Saya dan sembilan peniaga bazar menyewa tanah milik seorang penduduk dengan kadar bayaran RM5 sehari di Kolam Abu untuk membolehkan kami berniaga sepanjang Ramadan tahun ini," katanya.

Seorang lagi peniaga, Nordin Yusoff, 60, berkata, dia sudah lebih 20 tahun berniaga di bazar Ramadan dan tidak menyangka keputusan drastik kerajaan negeri dengan penutupan bazar Ramadan menyebabkan beberapa peniaga seakan-akan hilang arah.

"Saya sudah berhabis sehingga RM4,000 untuk membeli segala bahan dan barang keperluan untuk menyediakan makanan yang akan dijual pada hari pertama Ramadan, namun bagi mengelak risiko kerugian saya menyewa tapak yang berdekatan.

"Sepatutnya pengumuman penutupan bazar dibuat lebih awal sebelum Ramadan kerana kebanyakan peniaga bazar sudah membuat persiapan sekali gus bagi mengelak berlaku kerugian," katanya.

Sebelum ini, media melaporkan bazar Ramadan dan Aidilfitri seluruh Kelantan dibatalkan susulan kes Covid-19 di negeri itu mencatatkan peningkatan.

Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Kesihatan negeri Dr Izani Husin memaklumkan perkara berkenaan menerusi status di Facebooknya.

Kerajaan negeri turut memaklumkan Madinah Ramadan juga ditukar menjadi Pusat Rawatan dan Kuarantin Covid-19 Berisiko Rendah (PKRC) sebagai ikhtiar demi membendung penularan wabak berkenaan.

Sebahagian peniaga di Wakaf Bharu menjual juadah berbuka puasa dengan membuka kanopi di tepi jalan susulan penutupan bazar Ramadan di negeri ini. FOTO NIK ABDULLAH NIK OMAR
Sebahagian peniaga di Wakaf Bharu menjual juadah berbuka puasa dengan membuka kanopi di tepi jalan susulan penutupan bazar Ramadan di negeri ini. FOTO NIK ABDULLAH NIK OMAR

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 13 April 2021 @ 6:18 PM