TERTUDUH (tengah) mengaku tidak bersalah atas pertuduhan amang seksual fizikal di Mahkamah Sesyen Tawau, hari ini. FOTO ABDUL RAHEMANG TAIMING
TERTUDUH (tengah) mengaku tidak bersalah atas pertuduhan amang seksual fizikal di Mahkamah Sesyen Tawau, hari ini. FOTO ABDUL RAHEMANG TAIMING
Abdul Rahemang Taiming


SEORANG penganggur mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini, hari ini atas tuduhan melakukan amang seksual terhadap anak perempuan kenalan rapatnya, 24 Mac lalu.

Tertuduh berusia 33 tahun itu dituduh melakukan perbuatan itu ke atas remaja 14 tahun di sebuah bilik sewa di Taman Amber Park, dekat sini, jam 11 malam.

Tertuduh yang hadir tanpa diwakili peguam itu mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Awang Kerisnada Awang Mahmud.

Dia didakwa mengikut Seksyen 14(a) Akta Kesalahan Seksual Kanak-Kanak 2017 yang memperuntukkan hukuman penjara tidak melebihi 22 tahun dan boleh dihukum dengan hukuman sebat.

Pendakwaan yang dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Mohammed Ali Imran, bagaimanapun tidak menawarkan jaminan dengan alasan tertuduh tinggal serumah dengan mangsa selain terdapat kemungkinan tertuduh akan mengganggu saksi dan mangsa.

Mahkamah menetapkan 11 Mei depan sebagai sebutan semula dan pengurusan kes.

Pertuduhan yang sepatutnya dijalankan di bilik perbicaraan Mahkamah Sesyen itu bagaimanapun berlangsung di luar perkarangan mahkamah pada jam 10.30 pagi, selaras dengan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 2 April 2020 @ 3:41 PM