Abdul Rahemang Taiming

Tawau: Penganggur dihukum penjara 12 tahun dan enam sebatan oleh Mahkamah Sesyen, di sini, hari ini, selepas mengaku bersalah melakukan amang seksual fizikal terhadap kanak-kanak perempuan berumur 11 tahun, 4 Februari tahun lalu.

Tertuduh, Anuar Mohd Khamka, 22, membuat pengakuan itu sebaik pertuduhan terhadapnya dibacakan jurubahasa mahkamah di hadapan Hakim Awang Kerisnada Awang Mahmud.

Berdasarkan pertuduhan, tertuduh yang juga pendatang asing tanpa izin (Pati) Filipina didakwa dengan sengaja melakukan amang seksual fizikal terhadap kanak-kanak perempuan berumur 11 tahun (ketika kejadian) di kawasan semak Kampung Balimbang, Pulau Bum-Bum, Semporna jam 12.30 tengah malam, 4 Februari tahun lalu.

Berikutan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 14 (d) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak Tahun 2017 yang boleh dihukum di bawah seksyen yang sama.

Sabit kesalahan boleh dihukum penjara selama tempoh tidak melebihi 20 tahun, atau denda, atau dengan sebat atau mana-mana dua daripada hukuman itu.

TERTUDUH dihukum penjara 12 tahun dan enam sebatan oleh Mahkamah Sesyen, di sini, hari ini. FOTO Abdul Rahemang Taiming.
TERTUDUH dihukum penjara 12 tahun dan enam sebatan oleh Mahkamah Sesyen, di sini, hari ini. FOTO Abdul Rahemang Taiming.

Awang Kerisnada dalam penghakimannya berkata, mahkamah mempunyai tanggungjawab untuk melindungi selain mempertahankan kepentingan awam dan dalam kes ini, mangsa adalah seorang gadis bawah umur dan mahkamah wajar menjatuhkan hukuman keras ke atas tertuduh.

"Selepas meneliti fakta-fakta dan hujah pihak pendakwaan, mahkamah memerintahkan tertuduh dihukum penjara 12 tahun dan enam sebatan berkuat kuasa dari tarikh sabitan hari ini," katanya.

Selain itu, mahkamah turut memerintahkan tertuduh dirujuk ke Jabatan Imigresen untuk diusir pulang ke negara asal sebaik selesai menjalani hukuman.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Mohd Suhaimi Suriana manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 10 Ogos 2022 @ 12:09 PM