Abdul Rahemang Taiming


Tawau: Seorang buruh ladang dihukum penjara 22 tahun di Mahkamah Sesyen di sini, hari ini, selepas mengaku bersalah terhadap dua pertuduhan mendera dua anak kandungnya dalam kejadian di Ulu Balung, pada 13 Mac lalu.

Tertuduh, Nasir Basir, 26, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan jurubahasa mahkamah secara berasingan di hadapan Hakim Awang Kerisnada Awang Mahmud.

Mengikut pertuduhan pertama dan kedua, tertuduh didakwa sebagai bapa kepada kanak-kanak lelaki dan perempuan masing-masing berumur tiga dan lima tahun telah mendedahkan kanak-kanak itu dengan cara mungkin akan menyebabkannya mengalami kecederaan fizikal dan kesan gangguan emosi.

Tertuduh didakwa melakukan kesalahan terbabit di No F4 Perumahan Pekerja Ladang Giram - Divisyen Ulu Balung, Jalan Tawau-Kunak, di sini, pada 3 petang 13 Mac lalu.

NASIR dijatuhi hukuman penjara 22 tahun selepas mengaku bersalah mendera dua anak kandungnya, Mac lalu. FOTO ABDUL RAHEMANG TAIMING
NASIR dijatuhi hukuman penjara 22 tahun selepas mengaku bersalah mendera dua anak kandungnya, Mac lalu. FOTO ABDUL RAHEMANG TAIMING

Bagi kedua-dua kesalahan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 yang memperuntukkan hukuman denda tidak melebihi RM50,000 atau penjara tidak melebihi 20 tahun atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya, Kershanathan Pathmanathan dalam hujahannya memohon mahkamah mempertimbangkan hukuman berat dan setimpal bukan hanya sebagai hukuman kepada tertuduh, tetapi menjadi pengajaran kepada masyarakat agar tidak melakukan jenayah sedemikian.

Beliau berkata, kedua-dua mangsa dalam kes berkenaan adalah anak kandung tertuduh sendiri dan mangsa akan membesar dengan mengalami trauma berkekalan sepanjang hayat mereka selain penderaan dialami mereka sangat teruk.

Sementara itu, tertuduh yang tidak diwakili peguam dalam rayuannya memohon hukuman diringankan selepas mendakwa dirinya dalam keadaan tertekan sehingga bertindak mendera kanak-kanak terbabit dengan tujuan supaya isteri kembali semula ke pangkuannya.

Mahkamah kemudian menjatuhkan hukuman 11 tahun penjara bagi setiap pertuduhan berkuat kuasa dari tarikh sabitan hari ini serta berjalan secara berasingan.

Berita berkaitan

'Dera 2 anak untuk paksa isteri pulang'

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 27 April 2021 @ 5:50 PM