TAWAU 13 NOVEMBER 2019. Seorang pengurus ladang Jaifol Liun, 52, (kanan) mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Tawau, atas pertuduhan gagal menyerahkan hasil haiwan dilindungi kepada Pegawai Diberikuasa atau Jabatan Hidupan Liar (JHL) Sabah, berhubung kes seekor gajah Pygmy Borneo yang ditemui mati akibat ditembak, di Kalabakan, September lalu. FOTO Abdul Rahemang Taiming
TAWAU 13 NOVEMBER 2019. Seorang pengurus ladang Jaifol Liun, 52, (kanan) mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Tawau, atas pertuduhan gagal menyerahkan hasil haiwan dilindungi kepada Pegawai Diberikuasa atau Jabatan Hidupan Liar (JHL) Sabah, berhubung kes seekor gajah Pygmy Borneo yang ditemui mati akibat ditembak, di Kalabakan, September lalu. FOTO Abdul Rahemang Taiming
Abdul Rahemang Taiming


PENGURUS ladang mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Tawau, hari ini atas pertuduhan gagal menyerahkan hasil haiwan dilindungi kepada Pegawai Diberikuasa atau Jabatan Hidupan Liar Sabah.

Tertuduh Jaifol Liun, 52, membuat pengakuan itu dan memohon dibicarakan sebaik pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Hakim Awang Kerisnada Awang Mahmud.

Mengikut kertas pertuduhan, dia didakwa gagal menyerahkan dua potong disyaki gading gajah yang juga hasil haiwan daripada spesis Borneo Elephant (Elephas maximus borneensis) Gajah Borneo iaitu suatu hasil haiwan daripada spesis haiwan yang dilindungi sepenuhnya sepertimana disenaraikan dalam Bahagian 1 Jadual 1, Nombor 11 Enakmen Pemeliharaan Hidupan Liar 1997.

Perbuatan itu dilakukan di sebuah rumah di Felda Umas, Kalabakan, dekat Tawau kira-kira 2 pagi pada 2 Oktober lalu.

Bagi kesalahan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 40 Enakmen Pemeliharaan Hidupan Liar 1997 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 40(3) Enakmen yang sama yang memperuntukkan denda tidak melebihi RM50,000 atau penjara maksimum dua tahun atau kedua-duanya sekali.

Pendakwaan yang dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Syarifuddin Abdul Rasa, menawarkan ikat jamin sebanyak RM10,000 dengan dua penjamin tempatan.

Peguam Mohamed Zairi Zainal Abidin yang mewakili tertuduh bagaimanapun tidak bersetuju dan memohon ikat jamin dikurangkan kepada RM5,000 kerana anak guamnya sudah digantung kerja dan hanya menerima separuh bulan gaji.

Awang Kerisnada kemudiannya memerintahkan ikat jamin sebanyak RM7,000 dengan dua penjamin tempatan dan tertuduh turut diminta melapor diri dua minggu sekali di Pejabat Jabatan Hidupan Liar Sabah serta pasport antarabangsa diserahkan kepada mahkamah.

Tertuduh atau mana-mana ejen (pihak ketiga) juga tidak dibenarkan menghubungi atau menghampiri mana-mana saksi pendakwaan kecuali diminta oleh pegawai penyiasat dan tertuduh juga wajib menghadir setiap sebutan atau perbicaraan kes seperti yang ditetapkan oleh mahkamah.

Awang Kerisnada turut menetapkan 11 Disember ini sebagai tarikh pengurusan kes.

Sementara itu, Awang Kerisnada turut membenarkan permohonan Syarifuddin memanggil tiga lagi suspek yang disyaki bersubahat dalam kes berkenaan dan menetapkan 15 November ini sebagai tarikh sebutan semula kes.

Ketiga-tiga tertuduh, Paranchoi Nordin, 59, Abdullah Simin, 68, dan Martin Alok, 44, ketika ini masing-masing sedang menjalani hukuman penjara dua tahun selepas mengaku bersalah atas kesalahan di bawah Seksyen 8 (a) Akta Senjatapi 1960, pada 22 Oktober lalu.

Pada 3 Oktober lalu, semua suspek ditahan reman sebelum dibebaskan dengan jaminan polis pada 8 Oktober lalu berhubung kes pembunuhan kejam seekor gajah Pygmy Borneo yang ditemui mati akibat ditembak di hulu Sungai Udin, Dumpas, Kalabakan, pada 23 September lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 13 November 2019 @ 3:46 PM