KAKITANGAN MBKT melakukan operasi nyah cemar di Pasar Besar Kedai Payang. FOTO Bernama.
KAKITANGAN MBKT melakukan operasi nyah cemar di Pasar Besar Kedai Payang. FOTO Bernama.
Baharom Bakar


TUJUH pasar yang menjadi tumpuan orang ramai dibersihkan dalam Operasi Nyah Cemar di Kuala Terengganu dalam tempoh dua hari mulai semalam.

Turut dibersihkan Hentian Bas Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT).

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Kuala Terengganu, Rozizah Abni Hajar berkata, operasi akan dilakukan di lokasi tumpuan ramai berdasarkan jadual ditetapkan MBKT.

Katanya, bagi mengelakkan sebarang jangkitan, operasi nyah cemar terpaksa dilakukan pada sebelah petang dan malam.

“Antara pasar yang sudah dibersihkan pasar Cabang Tiga, pasar borong Kampung Gong Pauh, Kampung Kedai Buloh, Pasar Gelugor, Kampung Kepong, Kampung Laut dan Pasar Manir,” katanya.

Beliau berkata, demikian ketika ditemui pada majlis penyampaian sumbangan penutup mulut dan hidung serta cecair pencuci tangan di Balai Bomba dan Penyelamat Kuala Terengganu, hari ini.

Ia adalah sumbangan Timbalan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Ahmad Amzad Hashim.

Rozizah berkata, JBPM negeri hanya menyediakan pegawai dan anggota serta peralatan termasuk bahan kimia untuk melakukan kerja pembersihan berdasarkan jadual ditetapkan MBKT.

Ketika diminta mengulas lokasi tumpuan, Rozizah berkata, pegawai dan anggota sentiasa bersiap siaga untuk melakukan ops nyah cemar di kawasan ditetapkan MBKT.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 31 Mac 2020 @ 7:27 PM