Dr Alias Razak melakukan semburan ketika menyertai OPS Nyah Cemar di Pasar Borong Gong Pauh, hari ini. FOTO BAHAROM BAKAR
Dr Alias Razak melakukan semburan ketika menyertai OPS Nyah Cemar di Pasar Borong Gong Pauh, hari ini. FOTO BAHAROM BAKAR
Baharom Bakar


OPERASI sanitasi membabitkan masjid dan surau di Kuala Terengganu hanya akan dilakukan selepas proses berkenaan di semua kawasan tumpuan ramai selesai dilakukan.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kuala Terengganu, Rozizah Abni Hajar berkata, tiada keperluan mendesak untuk melakukan operasi sanitasi di masjid dan surau kerana ia bukan dikategorikan sebagai tumpuan ramai.

Katanya, tumpuan penyemburan bahan kimia Sedium Hipoklorik untuk mengekang penularan virus Covid-19 hanya akan dilakukan di lokasi tumpuan orang ramai.

“Masjid dan surau bukan dikategorikan sebagai lokasi tumpuan orang ramai selepas Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (MAIDAM) mengisytiharkan penutupannya daripada melakukan aktiviti keagamaan termasuk solat berjemaah,” katanya.

Rozizah berkata demikian ketika ditemui selepas mengetuai operasi sanitasi dan nyah cemar di Pasar Borong Gong Pauh, Kuala Terengganu, hari ini.

Turut hadir, Timbalan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Ahmad Amzad Hashim; Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan dan Alam Sekitar Terengganu, Dr Alias Razak serta Pengarah Jabatan Persekitaran Majlis Bandaraya Kuala Terengganu, Che Wan Mohd Zulkifli Che Wan Jalil.

Rozizah berkata, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Terengganu akan melaksanakan operasi sanitasi dan nyah cemar di masjid serta surau jika diarahkan oleh kerajaan negeri.

Katanya, JBPM negeri sudah melaksanakan proses sanitasi dan ops nyah cemar di 30 lokasi termasuk 45 pasar utama yang menjadi tumpuan orang ramai di Terengganu sejak akhir bulan lalu.

“Operasi sanitasi dan nyah cemar ini juga akan dilakukan di semua institusi kewangan serta stesen minyak mulai minggu depan, manakala secara berperingkat di semua pasar raya di seluruh negeri, ” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 10 April 2020 @ 5:10 PM