Anggota BBP Kuala Terengganu (BBPKT) melakukan latihan menyelamat di air sebagai persediaan menghadapi musim Monsun Timur Laut di perairan Sungai Terengganu. FOTO Zaid Salim
Anggota BBP Kuala Terengganu (BBPKT) melakukan latihan menyelamat di air sebagai persediaan menghadapi musim Monsun Timur Laut di perairan Sungai Terengganu. FOTO Zaid Salim
Zaid Salim


Kuala Terengganu: Seramai 92 anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kuala Terengganu berada dalam kesiapsiagaan menghadapi banjir dijangka bermula bulan depan.

Ketua BBP Kuala Terengganu, Rozizah Abni Hajar berkata, bagi memastikan operasi sepanjang musim tengkujuh berjalan lancar, pihaknya sentiasa meningkatkan latihan dalam kalangan anggotanya termasuk kemahiran mengendalikan jentera.

"Selain kecergasan anggota, kami sentiasa memastikan segala peralatan dan logistik diperlukan seperti bot, lori, kenderaan pacuan empat roda, jaket keselamatan dan pencahayaan berada dalam keadaan baik dan selamat untuk digunakan.

"Latihan bukan hanya tertumpu kepada penyelamatan di air sahaja, sebaliknya turut merangkumi ujian peralatan hidrolik dan gergaji berantai yang digunakan untuk kes kemalangan dan pokok tumbang," katanya.

Rozizah berkata, sebagai menghadapi musim Monsun Timur Laut (MTL), pihaknya membekukan cuti anggota bagi memastikan pergerakan operasi lancar.

Beliau berkata, 92 anggota akan bertugas siang dan malam mengikut syif manakala hanya 20 peratus sahaja dibenarkan bercuti.

"Namun sekiranya keadaan kritikal dan memerlukan tambahan anggota, cuti serta-merta akan dibekukan.

"Bantuan ke daerah lain yang menghadapi bencana banjir lebih buruk akan dilakukan sekiranya perlu," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 25 Oktober 2021 @ 12:52 PM