PENGURUSAN Terminal Bas Larkin Sentral melakukan kerja pembersihan dan sanitasi selepas seorang penumpang yang menaiki bas di situ,  disyaki dijangkiti COVID-19. FOTO IHSAN EXCO
PENGURUSAN Terminal Bas Larkin Sentral melakukan kerja pembersihan dan sanitasi selepas seorang penumpang yang menaiki bas di situ, disyaki dijangkiti COVID-19. FOTO IHSAN EXCO
Mohamed Farid Noh


PENGURUSAN Terminal Bas Larkin Sentral sedang melakukan proses pembersihan dan sanitasi menyeluruh di premis itu susulan seorang penumpang yang menaiki bas di situ Isnin lalu, disyaki dijangkiti Covid-19.

Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Pengangkutan dan Infrastruktur Johor, Mohd Solihan Badri berkata, proses pembersihan dan sanitasi dijalankan bagi mengelakkan sebarang kejadian tidak diingini.

“Pihak pengurusan terminal serta kakitangan juga menjalankan pemeriksaan suhu badan penumpang di pintu masuk kawasan pelepasan bas.

“Pengusaha bas juga diminta melakukan pembersihan dan sanitasi terhadap kenderaan mereka.

“Harapan saya supaya orang ramai mematuhi Perintah Kawalan Pergerakan jika tiada sebarang keperluan mendesak untuk melakukan perjalanan ke mana-mana,” katanya ketika dihubungi.

Hari ini, pengumuman meminta penumpang yang menaiki sebuah bas ekspres dari Terminal Larkin Sentral ke Terminal Sentral Kuantan pada jam 7.45 malam Isnin lalu diminta menghubungi Bilik Gerakan Pejabat Kesihatan Daerah Kuantan, tular di media sosial.

Ia berikutan seorang daripada penumpang bas itu disahkan dijangkiti Covid-19.

Difahamkan kesemua penumpang termasuk individu dijangkiti wabak berkenaan sudah dapat dikesan.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 19 Mac 2020 @ 5:00 PM