GAMBAR kucing di sisi nota peringatan. FOTO ihsan Nur Shafiqah Zareen Nazril
GAMBAR kucing di sisi nota peringatan. FOTO ihsan Nur Shafiqah Zareen Nazril
Redzuan Muharam


“SAYA faham niat pemilik kedai berkenaan tetapi ada cara untuk menegur, bukan dengan meletakkan nota seperti itu,” kata Nur Shafiqah Zareen Nazril, 24.

Nur Shafiqah memberi reaksi berhubung perkongsian kisah dan gambar yang dimuat naik di Facebooknya, semalam.

Gambar itu menunjukkan seekor kucing duduk bersebelahan dengan nota pesanan bertulis ‘Jangan Letak Makanan Di Sini’.

Hantaran berkenaan tular di laman sosial dengan rata-ratanya warganet meluahkan rasa simpati dengan nasib kucing itu.

Menceritakan perkara itu, Nur Shafiqah berkata, dia menemui kucing dan nota berkenaan sebelum melangkah masuk untuk menjamu selera bersama keluarga di sebuah restoran di Kulim, Kedah.

“Saya memang sukakan kucing dan kerana itu datang menghampirinya tetapi terkejut apabila melihat ada nota pesanan yang memberi peringatan supaya tidak meletakkan makanan.

“Bagi mendapatkan kepastian, saya bertanya kepada pekerja restoran dan menurut mereka, pemilik kedai berkenaan yang meletakkannya kerana tidak mahu kawasan premisnya kotor.

“Pemilik kedai itu berhak berbuat begitu tetapi sedih rasanya kerana kucing itu bunting dan nampak kelaparan,” katanya ketika dihubungi Harian Metro.

Menurut Nur Shafiqah, niatnya berkongsi kisah dan gambar di Facebook adalah untuk berkongsi pengalaman, bukannya memburukkan sesiapa.

Namun, Nur Shafiqah tidak menyangka perkongsiannya itu mendapat perhatian ramai selepas dikongsi laman Penang Fast News Today di Facebook.

Katanya, ramai yang memberi maklum balas positif tetapi ada juga mengecam dan menuduhnya sengaja mencari perhatian.

“Sebagai pencinta kucing, sudah tentunya saya sebak apabila melihat keadaan seperti itu di depan mata.

“Bagi saya , kucing itu tidak bersalah begitu juga dengan individu yang memberi makanan cuma tempat saja kurang sesuai.

“Jadi, perlu ada tolak-ansur dan rasa kemanusiaan kerana haiwan juga berhak untuk hidup,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 12 Mac 2020 @ 9:51 PM