MOHAMAD Azhar bekerja sebagai pengutip sampah untuk mendapatkan duit lebih tampung kos beli makanan kucing jalanan. FOTO Hairul Anuar Rahim
MOHAMAD Azhar bekerja sebagai pengutip sampah untuk mendapatkan duit lebih tampung kos beli makanan kucing jalanan. FOTO Hairul Anuar Rahim
Redzuan Muharam


DEMI memastikan nasib kucing jalanan tidak terabai, Mohamad Azhar Alias sanggup melakukan pekerjaan sambilan sebagai pekerja pembersihan di lebuh raya untuk meraih pendapatan sampingan.

Mohamad Azhar, 43, berkata, pekerjaan itu dilakukan sejak Jun lalu bagi menampung perbelanjaan membeli makanan untuk kucing jalanan yang terbiar di hentian berhampiran lebuh raya.

Katanya, ia didorong oleh aktiviti memberi makanan kepada kucing yang dilakukan sejak Februari 2018 dan berterusan hingga kini dengan memberi tumpuan di lima hentian lebuh raya iaitu berhampiran Plaza Tol Taman Rimba Templer, Rawang serta empat lagi di kawasan sekitar.

Walaupun berdepan cabaran dari segi kewangan, dia tekad meneruskan aktiviti itu kerana simpati dan enggan melihat kucing berkenaan terbiar dalam keadaan kelaparan memandangkan ada di antaranya dibuang pemilik asal.

“Saya pernah bekerja sebagai eksekutif di jabatan Sumber Manusia selama tiga tahun bermula 2005 tetapi meletak jawatan kerana mahu memberi tumpuan kepada perniagaan kek yang diusahakan bersama isteri sejak Disember 2008.

“Hasil pendapatan daripada perniagaan itu membantu saya membeli keperluan 18 kucing peliharaan di rumah dan makanan untuk yang ditemui di jalanan.

“Namun, pulangan hasil jualan kek agak berkurangan berbanding dulu dan disebabkan itu, saya ambil keputusan bekerja sebagai pekerja pembersihan dengan harapan ia dapat menampung perbelanjaan makanan kucing, terutama yang terbiar di hentian lebuh raya,” katanya ketika ditemui Harian Metro di Plaza Tol Taman Rimba Templer.

MOHAMAD Azhar memberi makan kepada kucing jalanan. FOTO Hairul Anuar Rahim
MOHAMAD Azhar memberi makan kepada kucing jalanan. FOTO Hairul Anuar Rahim

Mohamad Azhar berkata, pada mulanya, isteri, Samsida Mohd Ali, 50, tidak menyokong hasratnya bekerja sebagai pekerja pembersihan kerana kurang yakin dengan kemampuannya.

“Memang dia (isteri) tidak galakkan dan minta saya cari kerja lain yang lebih bersesuaian kerana sebelum ini, saya bekerja di pejabat.

“Bukan kerana malu cuma dia bimbang jika saya tidak dapat menyesuaikan diri tetapi sebab utama saya bekerja di sini adalah kerana waktu kerjanya yang fleksibel.

“Lagipun, saya memang memerlukan wang, sekurang-kurangnya RM1,500 setiap bulan untuk membeli makanan kucing terbiar itu jadi mahu atau tidak, saya perlu melakukan pekerjaan sampingan tanpa bergantung dengan keuntungan perniagaan semata-mata,” katanya yang menetap di Taman Tun Teja, Rawang.

Berkongsi rutin hariannya, Mohamad Azhar berkata, sebelum ke tempat kerja, dia akan menguruskan kucing peliharaannya di rumah terlebih dulu.

Kemudian, katanya, barulah dia akan ke tempat kerja dengan membawa bersama makanan untuk diberi kepada kucing yang ada di setiap hentian.

“Saya memperuntukkan kira-kira 3.5 Kilogram (kg) makanan setiap hari untuk diberi kepada kucing di lima hentian berkenaan.

“Kebiasaannya, aktiviti itu dilakukan selepas selesai melakukan kerja pembersihan di setiap hentian dengan menempatkan makanan dalam bekas di satu tempat supaya tidak mengotorkan kawasan berkenaan.

“Setakat ini, saya puas kerana dapat membantu dan akan terus melakukannya selagi termampu,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 28 Februari 2020 @ 12:05 AM