Khairul Anua memberi makan kepada anjing dan kucing terbiar. FTO Ihsan Khairul Anua
Khairul Anua memberi makan kepada anjing dan kucing terbiar. FTO Ihsan Khairul Anua
Redzuan Muharam


Kuala Lumpur : "Saya jadikan aktiviti beri makan kepada kucing dan anjing sebagai rutin atas rasa tanggungjawab memandangkan haiwan itu juga makhluk Allah yang perlu dibantu," kata pencari dan penjual barangan kitar semula, Khairul Anua.

Khairul, 44, memberi reaksi itu ketika diminta berkongsi kisahnya yang sering memberi makanan kepada haiwan jalanan terutama anjing dan kucing.

Menurut Khairul, aktiviti itu semakin aktif dilakukan sejak awal pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) tahun lalu.

Katanya, keinginan memberi makan itu tercetus selepas melihat seekor anjing menyelongkar tong sampah berhampiran sebuah pasar raya di Kota Bharu, Kelantan.

" Ketika itu, saya lihat anjing itu berkeliaran di tempat pembuangan sampah dan dapat rasakan anjing itu lapar.

" Kebetulan, banyak kedai makan tutup ketika jadi saya cuba bantu dengan membeli makanan untuknya.

" Itu pertama kali saya mendekati anjing dan jujurnya memang takut kerana ada pengalaman dikejar haiwan berkenaan tetapi cuba ketepikan kerana rasa kasihan dan tidak sanggup melihatnya kelaparan," katanya ketika dihubungi Harian Metro.

Khairul kemudiannya meneruskan rutin memberi makan kepada anjing dan kucing jalanan yang ditemui.

Menurut Khairul, agihan makanan untuk kucing jalanan dilakukan kira-kira jam 7.30 pagi hingga 8 pagi setiap tiga hari sekali di Pantai Cahaya Bulan, Kelantan.

Katanya, bekas isian semula disediakan bagi memudahkan orang ramai berada di kawasan berkenaan membantu menyumbang makanan.

" Manakala, agihan makanan untuk anjing pula dilakukan 5 petang setiap dua hari sekali di tempat lama iaitu pasar raya dekat Kota Bharu .

" Alhamdulillah, rezeki untuk anjing tidak pernah putus kerana ramai yang tampil memberi sumbangan untuk membeli makanan tetapi kucing agak sukar hingga saya ada kalanya terpaksa meminta sumbangan orang ramai menerusi Facebook (Fb)," katanya.

Khairul Anua menyifatkan rutin dilakukannya itu sebagai terapi mendekatkan lagi dirinya dengan haiwan berkenaan.

Berikutan ,Khairul berkata, dia tidak dicederakan anjing kerana haiwan berkenaan sudah mengenalinya kerana kebanyakannya diberi makan sejak usia kecil.

" Setakat ini, anjing berkenaan tidak pernah menggigit saya atau sebaliknya segera berlari ke arah saya sebaik mendengar bunyi enjin motosikal.

" Kadangkala, sedih juga apabila tidak dapat bertemu dan memberi makan terutama pada musim hujan tetapi saya percaya, Allah akan membantu .

" Terima kasih kepada semua yang membantu selama ini walaupun tidak mengenali saya dan bagi yang berminat untuk lakukan rutin sama, teruskan serta mulakan di kawasan perumahan atau pasar berhampiran.

" Cuma, niat kena betul iaitu jangan lakukannya untuk menunjuk atau mengharapkan balasan sebaliknya buat kerana rasa ihsan terhadap sesama makhluk Allah," katanya.

Orang ramai berhasrat membantu boleh menghubunginya di talian 018-905 1519.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 10 Februari 2021 @ 4:42 PM