Kucing peliharaan Nuranis yang dipakaikan baju. FOTO ihsan pembaca
Kucing peliharaan Nuranis yang dipakaikan baju. FOTO ihsan pembaca
Redzuan Muharam


Kuala Lumpur: Ibu tiga anak, Nuranis Rosni Daud asalnya bukanlah penggemar kucing namun 'jatuh cinta' dengan haiwan itu selepas memelihara haiwan itu pada 2013.

Perasaan sayang terhadap kucing itu menyebabkan Nuranis, 46, menjaga haiwan itu seperti anaknya sendiri.

Tidak hanya memberi makan dan tempat tinggal tetapi menjadi rutin harian Nuranis memakaikan baju buat kucing peliharaannya dan kisah itu mendapat perhatian warganet baru-baru ini selepas wanita berkenaan memuat naik video di TikTok.

Bercerita lanjut, Nuranis yang menetap di Taman Mutiara Kulim, Kedah berkata, mulanya dia mempunyai enam ekor kucing namun salah seekornya yang diberi nama Leo mati pada 2016 akibat jangkitan virus pada mulut.

"Kini, tinggal lima ekor kucing saja dalam peliharaannya iaitu Yuteh Gemok (Yuteh) Gabu Gedut (Gabu), Omel Gedik (Omel), Mozza Damee Betto dan Alexx Tommy Tiger (Tiger).

"Saya tidak ada keinginan pun untuk memelihara kucing pada mulanya namun anak yang minta carikan kerana bosan di rumah.

"Kebetulan, ada rakan sekerja warga Indonesia di kilang mahu pulang ke negara asalnya serahkan Leo kepada saya atas saranan penyelia kilang," katanya ketika dihubungi Harian Metro.

Nuranis berkata, selepas Leo, dia memelihara pula Yuteh yang dibuang di hadapan rumah jirannya dekat Taman Daya, Johor Bahru, Johor sebelum mengambil empat lagi kucing lain secara berperingkat selepas berpindah ke Kulim, Kedah pada 2015.

"Semua kucing saya kecuali Omel diambil ketika masih kecil dan asalnya bukan sihat seperti sekarang. Paling teruk adalah Tiger kerana ketika diambil, gusinya bernanah akibat tercucuk tulang begitu juga dengan telinga dan matanya.

"Badannya juga berkurap dan bulunya banyak tercabut hingga kelihatan kulit serta tulang pada waktu itu. Saya mulanya tidak yakin Tiger akan bertahan tetapi terus menjaganya sehingga sihat dan kini Tiger sangat aktif," katanya.

Nuranis yang juga pengusaha kedai menjual barangan penjagaan dan keperluan kucing berkata, rutin hariannya adalah bangun seawal jam 5 pagi untuk menyiapkan makanan sebelum memberi makan kepada haiwan kesayangannya itu.

Katanya, selepas mandi dan menunaikan solat Subuh, dia akan memberi vitamin kepada semua kucingnya untuk penjagaan kulit, bulu serta kesihatan dalaman.

"Selesai semuanya, baru saya ke kedai dan kebiasaanya, Tiger dan Omel akan dibawa bersama kerana kedua-duanya lebih mudah dijaga," katanya.

Menurutnya, hobi memelihara kucing seperti satu terapi yang bukan hanya memberi kepuasan tetapi menjadikan jiwanya tenang.

MOHAMAD Ariff bersama pasukannya. FOTO ihsan pembaca
MOHAMAD Ariff bersama pasukannya. FOTO ihsan pembaca

Katanya, kucing itu juga mengeratkan lagi hubungannya dengan anak dan suami, Yusri Yusuf, 46, kerana sama-sama menjaga serta menguruskan haiwan berkenaan.

"Entah kenapa, saya rasa tenang setiap kali berada di rumah dengan kucing dan hilang penat bekerja apabila melihatnya.

"Kiranya, kucing itu penghibur hati saya kerana ada saja gelagatnya yang membuatkan saya ketawa dan saya biarkan saja kucing peliharaan berkeliaran di dalam rumah cuma sesekali membawanya berjalan di padang pada hari cuti.

"Setakat ini, saya mempunyai lebih 30 koleksi baju khas untuk semua kucing peliharaan yang akan dipakaikan ketika keluar berjalan atau pada waktu sejuk.

"Alhamdulillah, anak-anak saya menyayangi kucing dan suami yang dulunya kurang gemar juga mula sayang dengannya," katanya.

Nuranis bersyukur kerana rezekinya tidak putus sejak memelihara kucing malah tidak menyangka dapat membuka kedai menjual makanan, perhiasan dan ubat kucing pada April 2019.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 20 Februari 2021 @ 9:00 PM